KUALA LUMPUR – Pada tahun 2019, seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Hakeem Mohammad Akmal dianugerahkan gelaran tertinggi di Malaysia dan di dunia oleh badan profesional perakaunan yang diiktiraf global, The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), United Kingdom.
Tahun ini, dua penuntut Fakulti Perakaunan dari universiti sama berjaya mengikut jejak seniornya itu dengan melakar kecemerlangan apabila tersenarai antara 10 pelajar terbaik dunia dalam peperiksaan ACCA dan Certified Accounting Technician (CAT) pada Disember lalu.
Dua penuntut itu, Fatin Najwa Azman, 22, pelajar semester kelima program ACCA dan Putera Aiman Abdul Rashid, 19, pelajar semester akhir program CAT.
UiTM dalam kenyataannya memaklumkan, Fatin Najwa mendapat tempat pertama di Malaysia dan kesembilan dunia bagi peperiksaan Audit and Assurance (AA), manakala Putera Aiman memperoleh tempat pertama dan kedua dunia bagi peperiksaan Maintaning Financial Records (FA2).
Menurut Dekan Fakulti Perakaunan, Prof. Dr. Haslinda Yusoff, kedua-dua penuntut itu amat komited dan berdedikasi dalam pelajaran, ditambah suasana pembelajaran yang positif.
“Pihak fakulti amat proaktif dalam memupuk suasana pembelajaran yang berkesan. Sistem pengajaran dan pembelajaran yang efektif di UiTM menjadi kombinasi dalam kejayaan penuntut.
“Kejayaan ini juga turut membuktikan kecemerlangan Bumiputera dalam bidang perakaunan. Ia boleh dijadikan rangsangan bagi melahirkan lebih ramai profesional perakaunan Bumiputera terbaik di dunia,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut Dr. Haslinda, kedua-dua mereka juga diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada semua warga UiTM untuk terus memberikan yang terbaik demi menjadikan universiti itu sebuah institusi pendidikan unggul dunia.
UiTM adalah universiti awam pertama di Malaysia menerima ACCA Platinum Award sejak Julai 2011 dan terus berperanan sebagai institusi pengajian tinggi awam utama dalam mendokong pencapaian aspirasi negara untuk menghasilkan kira-kira 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030. – MalaysiaGazette