DALAM kerajaan bertarung bagi mengawal pandemik Covid 19 yang meruncing, pelbagai langkah telah diambil dalam memastikan ia terkawal.
Banyak industri pekerjaan mengalami norma yang baharu. Tidak kurang juga ada sektor yang digantung perkhidmatan mereka buat seketika.
Terbaharu, industri perniagaan gunting rambut telah mendapat lampu hijau daripada kerajaan untuk kembali memulakan operasi. Namun, pihak berwajib mungkin terlepas pandang akan industri kreatif yang mempunyai rangka waktu terhad menyiapkan tugasan mereka untuk siaran media elektronik kini.
Tidak kira apa juga rancangan baik drama, majalah, dokumentari dan sebagainya mempunyai jangka waktu terhad untuk disiapkan.
Selain dihambat dateline, mereka juga perlu berurusan dengan pelbagai pihak bagi menyempurnakan paparan sesebuah rancangan.
Jelas, warga kreatif tertekan dengan situasi kini yang seakan-akan tidak mempunyai titik noktah. Bila mereka boleh kembali keluar menyempurnakan tugas?
Perlu diingat, hasil kerja mereka ini adalah untuk tontonan masyarakat sepanjang tahun terutama saat terpaksa berkurung di kediaman masing-masing.
Di sebalik produksi ini, kita tidak hanya melihat nasib para pelakon atau pengacara. Tetapi ribuan tenaga kreatif yang menjadi tulang belakang sesebuah produksi.
Tugas sebagai freelancer ini juga antara yang menjadikan mereka tertekan kerana mengejar bayaran, di samping beban tugasan yang terkandas selama lebih 14 hari ini. Situasi seumpama ini pasti akan menjadikan segala jadual yang dirangka, kelak akan menjadi kucar-kacir.
Pada dasarnya tugas dalam penggambaran dan kerja-kerja kreatif lain boleh mengikut SOP yang ketat. Penyelarasan dalam tata kerja mahu pun lakonan boleh dilaras berdasaran keperluan SOP. SOP PKP 1.0 masih relevan untuk digunapakai dalam tata kerja produksi.
Tidak perlu MKN berterusan meminta cadangan SOP lain dan pada waktu yang sama, masa banyak terbuang serta kerja banyak terbengkalai.
KKMM boleh mencadangkan kepada MKN untuk memastikan semua yang terlibat membuat Rapid Test dan bukan sekadar mengambil suhu. Ia bukan sahaja memberi keyakinan sesama kru bahkan semua pihak yang terlibat dengan penggambaran.
Ini termasuk pemilik lokasi, tuan rumah, kaki tangan penaja dan sebagainya. Cara ini lebih efisien bagi mengenal pasti individu positif atau negatif dengan segera.
Kementerian juga boleh menyarankan produksi menyediakan penempatan khas untuk para artis dan kru di sesebuah kediaman sepanjang penggambaran agar dapat dikawal pergerakan atau perhubungan dengan individu lain yang tidak ada kena mengena dengan krew produksi.
Justeru, mewakili Armada Nasional malah selaku individu yang pernah terlibat dalam industri seni kreatif, saya terpanggil untuk bersuara dalam membela golongan kreatif negara.
Atas rasa tanggungjawab, saya sedia menggalas tugas menjadi ayam tambatan bagi berjuang mendapatkan tarikh pelepasan sah untuk warga kreatif segera kembali bertugas.
Mereka yang terlibat dalam industri kreatif ini juga boleh dikira sebagai frontliner yang menyediakan wadah tontonan untuk rakyat, membantu juga dari sudut psikologi yang rata-ratanya kini work from home.- MalaysiaGazette
Khairul Amilin
Exco Jalur Pribumi Armada Nasional