DAR ES SALAAM, Tanzania – Sekurang-kurangnya 15 orang mati dan lebih 50 orang dimasukkan ke hospital di selatan Tanzania berikutan jangkitan penyakit tidak dikenalpasti yang menyebabkan kebanyakan mereka mengalami loya dan muntah berdarah, kata para pegawai kesihatan.

Ketua Pegawai Perubatan di kawasan pedalaman Chunya di daerah Mbeye, Felista Kisandu berkata, satu pasukan pakar perubatan dikerah untuk melakukan penilaian klinikal ke atas pesakit dan menyiasat punca wabak itu.

“Masalah ini tidak menular, ia berlaku pada wad pentadbiran tunggal Ifumbo di mana mereka mengalami muntah berdarah dan meninggal dunia apabila mereka lewat tiba di hospital,” katanya seperti dipetik agensi berita Anadolu.

Punca penyakit itu masih lagi belum dikenalpasti namun Menteri Kesihatan Tanzania menolak kemungkinan ia adalah satu wabak.

Pemeriksaan klinikal awal mendapati pesakit, kebanyakannya lelaki, mengalami barah perut dan penyakit hati, kata Kisandu.

“Kami telah menasihatkan mereka untuk mengelak mengambil minuman keras haram, merokok dan minum minuman beralkohol lain,” tambah beliau.

Kisandu berkata, pelbagai sampel air dan darah pesakit dihantar kepada ketua kimia kerajaan bagi tujuan pengesahan dalam usaha mengesan pencemaran raksa.

Menurut rekod Ketua Pejabat Perubatan Mbeya, wabak penyakit sama berlaku di daerah itu pada 2018 apabila beberapa orang disahkan mengalami demam, sakit perut dan muntah berdarah.

Menteri Kesihatan Tanzania, Doroth Gwajima mengerahkan satu pasukan pakar untuk menilai situasi dan mengarahkan mereka menyerahkan satu laporan bertulis punca penyakit itu untuk tindakan lanjut, menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian tersebut.

Menteri itu meminta orang ramai kekal tenang ketika para pegawai berusaha mencari punca apa yang sedang berlaku. – MalaysiaGazette