Kejadian letusan gunung Raung di Kabupaten Banyuwangi, Jawa Timur, semalam. foto agensi

BANYUWANGI – Abu daripada letusan Gunung Raung semalam telah menyelubungi banyak kawasan di Kabupaten Banyuwangi, Jawa Timur hari ini.

Ketua Bahagian Kecemasan dan Logistiknya, Eka Muharam berkata, akibatnya ramai penduduk mengalami sakit mata ketika berada di luar dan menasihati mereka jangan panik.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh hasil kerjasama dengan pegawai Pasukan Keselamatan Gunung Berapi Raung (PPGA), abu itu masih dianggap selamat.

“Saya berharap agar semua penduduk memakai pelitup muka dan cermin mata ketika memandu terutamanya motosikal,” katanya.

Salah seorang penduduk Desa Olehsari, Arum Anugrah berkata, dia melihat halaman rumah dan kenderaan mereka penuh dengan debu gunung berapi yang tebal.

“Ketika saya keluar rumah, beranda depan dipenuhi dengan abu bahkan kenderaan saya juga dilitupi banyak abu,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai PPGA, Burhan Alethea pula berkata, gunung yang meletus itu mengeluarkan asap tebal sehingga mencapai ketinggian 1,000 meter di atas puncak kawah.

“Gunung Raung setinggi 3,332 meter masih mengalami mikrotremor berterusan yang dirakam pada amplitud 3-20 MM (dominan 6 MM).

“Aktiviti gunung berapi kebiasaannya tidak meningkat, hanya berbeza secara visual sahaja,” katanya kepada portal berita antaranews.com.

Sejak Rabu lalu, Gunung Raung mengalami letusan dan Badan Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM) mengisytiharkan peningkatan status aktiviti gunung berapi Gunung Raung dari Tahap I (normal) ke Tahap II (amaran).

Lapangan Terbang Banyuwangi juga ditutup ekoran abu gunung berapi itu yang menganggu aktiviti penerbangan. – MalaysiaGazette