Asyraf Wajdi Dasuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO kecewa dengan alasan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berlaku ‘masalah teknikal’ pada sistem i-Sinar semalam, menyebabkan proses permohonan pengeluaran wang akaun 1 tergendala.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ‘masalah teknikal’ yang berlaku itu jelas mengecewakan ramai pemohon yang merasakan mereka dipermainkan.

Beliau berkata, sejak dari awal lagi pelbagai usaha telah dilakukan pihaknya untuk meyakinkan kerajaan dan KWSP agar permudahkan urusan rakyat yang hendak mengeluarkan wang simpanan mereka.

“Kita sendiri telah menghantar memorandum, bersemuka dengan Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi, Menteri Kanan, membuat pelbagai desakan melalui media, bahkan berbincang dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya diangkat dalam perbahasan di Parlimen.

“Namun, apa yang berlaku kelmarin dan hari ini khususnya ‘masalah teknikal’ sistem KWSP mengecewakan kita dan ramai pemohon yang merasakan mereka dipermainkan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Pagi tadi, KWSP memohon maaf kerana terdapat masalah teknikal pada paparan status i-Sinar Online yang telah dikeluarkan pada malam tadi.

Melaluinya, orang ramai menerima notifikasi, mengatakan permohonan telah diluluskan dan akan menerima bayaran sebelum 30 Januari 2021.

Namun, tidak diketahui sama ada masalah teknikal berkenaan melibatkan tarikh atau berkenaan kelulusan.

Pihak KWSP menyarankan pengguna untuk menyemak kembali status permohonan mereka bermula hari ini.

Beberapa pengguna yang menerima kelulusan pada malam semalam kini mengatakan mereka mendapati status berkenaan telah berubah dan memaparkan permohonan masih dalam proses semula.

Asyraf sekali lagi mendesak KWSP mempermudahkan pengeluaran i-Sinar terutamanya kategori 2 dengan memansuhkan segala syarat dan kriteria bagi membolehkan rakyat mengeluarkan wang simpanan dengan segera.

Bagi Pemuda UMNO, saat-saat sukar dalam senario luar biasa ketika  pandemik Covid-19, perlunya pendekatan yang luar biasa untuk menyantuni hasrat dan harapan rakyat yang sememangnya gelisah memikirkan kelangsungan hidup ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast