Jawahar Ali Taib Khan

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menasihatkan kira-kira 4,200 ahlinya supaya menempatkan seorang pekerja bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di restoran khususnya pada waktu puncak.

Langkah itu diambil bagi memastikan pematuhan SOP dapat dilakukan sebaiknya susulan kebenaran beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, sudah pasti ia berita gembira kepada semua ahli persatuan itu dan usahawan runcit selepas pendapatan mereka terjejas kerana tidak dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Kita juga menasihatkan ahli supaya menggunakan peluang ini untuk menjalankan perniagaan dengan baik dan mematuhi SOP ditetapkan seperti hanya dua orang dibenarkan berada pada satu meja, penjarakan satu meter serta jumlah pelanggan yang dihadkan.

“Dengan pengalaman PKP sebelum ini, kita yakin perniagaan akan berjalan lancar seterusnya memulihkan kembali pendapatan ahli yang terjejas sebelum ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

MKN hari ini membenarkan pelanggan makan di dalam restoran, namun terhad kepada dua orang satu meja, berkuasa kuasa, esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, kebenaran diberikan dengan syarat penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Pemilik restoran juga, katanya, perlu memberi tugasan kepada sekurang-kurangnya seorang pekerja bagi premis yang membenarkan makan di dalam restoran.

Sementara itu, Presiden Persatun Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Che Hassan Che Johan berkata, orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi SOP agar penularan Covid-19 dapat dihentikan.

PPMM juga berharap masyarakat tidak alpa dengan kelonggaran diberikan dan tidak mengambil kesempatan dengan ingkar SOP terutama apabila berada di restoran atau pun membeli barangan keperluan.

Katanya, pengguna memainkan peranan untuk memastikan tiada lagi jangkitan dalam komuniti untuk menjamin aktiviti yang dapat dijalankan pada waktu ini berterusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast