KUALA LUMPUR – Kerajaan mengehadkan harga siling petrol RON95 dan diesel masing-masing kepada RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan sebenar harga minyak di pasaran global.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, penetapan paras harga siling bagi petrol RON95 dan diesel ini adalah lebih rendah berbanding had harga yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter diesel.
“Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, keputusan ini diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia yang turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia.
Tambahnya, trend harga minyak global juga dipengaruhi oleh pelan vaksinasi Covid-19 yang mula dilancarkan secara berperingkat-peringkat di seluruh dunia.
Malaysia akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannnya bermula hujung Februari 2021.
Tengku Zafrul menambah, kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette