SHAH ALAM – Bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Abu Sujak Mahmud, meninggal dunia di kediamannya di Seksyen 4, di sini kira-kira pukul 6 petang tadi.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Kamaruzzaman Johari ketika dihubungi berkata, Allahyarham Abu Sujak, 82, meninggal dunia disebabkan sakit tua.

“Berita kematian itu dimaklumkan oleh anak saudara Allahyarham petang tadi. Difahamkan jenazah Allahyarham masih di rumahnya dan ziarah pada malam ini hanya untuk keluarga terdekat sahaja.

“Jenazah Allahyarham akan disolatkan di Surau Seksyen 4 esok, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Datuk Dagang, Kampung Jawa, Klang,” katanya.

Kamaruzzaman yang kali terakhir bertemu Allahyarham semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 lepas menyifatkan, Allahyarham sebagai seorang yang baik, suka menolong dan berpegang kuat kepada agama.

Allahyarham Abu Sujak yang merupakan anak jati Kampung Jawa, Klang memegang jawatan sebagai Timbalan kepada bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib pada November 1989, sehingga Pilihan Raya Umum 1990.

Allahyarham juga menyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang selama dua penggal bermula tahun 1986 hingga 1995, dan kemudiannya menjadi ADUN Batu Tiga selama satu penggal sehingga tahun 1999, yang kesemuanya atas tiket Barisan Nasional.

Selain itu, Allahyarham juga merupakan Datuk Bandar Shah Alam yang pertama dilantik pada 10 Oktober 2000. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast