Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya. Foto SYAFIQ AMBAK, 14 DISEMBER 2020.

GEORGE TOWN –  Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bekerjasama dengan JIPS Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dalam menyiasat dakwaan dua pengguna jalan raya diganggu anggota Sekatan Jalan Raya (SJR).

Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya berkata, hasil siasatan mendapati kejadian pertama membabitkan menyoal pengguna memakai coli atau tidak berlaku di Jalan Duta di Kuala Lumpur membabitkan gangguan seksual.

Manakala kejadian meminta nombor telefon sebelum menghubung menerusi aplikasi WhatsApp pula dilaporkan berlaku di SJR Pulau Pinang.

“JIPS Pulau Pinang dan Kuala Lumpur sedang menyiasat perkara tersebut dan kita di Bukit Aman akan memantau siasatan tersebut.

“Siasatan menjurus untuk mengenal pasti anggota polis yang terlibat berdasarkan keterangan  yang ada.

“Pada masa yang sama pihak Bukit Aman juga telah menghubungi kedua- dua pengadu tersebut bagi mendapatkan maklumat kejadian,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Zamri, tindakan sewajarnya termasuk tatatertib akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

“Dakwaan dua pengadu tersebut merupakan  kesalahan tatakelakuan yang serius kerana Ia boleh mencemarkan imej PDRM.

“Saya juga ingin mengingatkan pegawai dan anggota polis yang sedang bertugas perlu bersikap profesional dan tidak melakukan perkara yang tidak berkaitan dengan tugas rasmi,” ujanrya.

Hari ini tular dua insiden membabitkan anggota SJR mengganggu pengguna jalan raya ketika melalui SJR di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast