KUALA LUMPUR – Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) menggesa siasatan melibatkan gangguan seksual ke atas dua wanita di sekatan jalan raya (SJR) semalam, dilakukan secara telus dan profesional.
Pengerusi Biro Kanun AWAN, Soraya Salim berkata, sekiranya wujud elemen jenayah, anggota polis terbabit perlu dihadapkan ke mahkamah kerana melangkaui tindakan tatatertib.
Kata beliau, pihaknya juga kesal dengan pelbagai reaksi dan komen negatif daripada masyarakat terutama warganet memperlecehkan wanita berkenaan dan meremehkan aduannya.
“Kita telah meneliti dua laporan berasingan wanita yang didakwa diganggu anggota polis yang bertugas di SJR dan pelbagai reaksi masyarakat susulan tularnya insiden ini.
“Kami juga mengalu-alukan kenyataan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Zamri Yahya dan kenyataan senada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin bahawa pihaknya sedang menyiasat kejadian itu
“Kami menegaskan stigma negatif terhadap mangsa, yang antara punca kebanyakan mangsa enggan tampil membuat laporan salahlaku seksual kerana khuatir dikutuk masyarakat dan dipersalahkan atas dakwaan mereka,” katanya dalam kenyataan kepadaa media, hari ini.
Dalam kes di Jalan Duta, di sini, seorang wanita mendakwa ditanya oleh anggota polis sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak, selain memberi jaminan tidak akan mengeluarkan saman jika dia menunjukkan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak.
Dalam satu lagi kejadian di Pulau Pinang, seorang anggota polis menghubungi wanita yang baru diperiksa ketika melalui sekatan itu dengan tujuan ingin berkenalan.
Menurut Soraya, hakikatnya gangguan seksual berlaku lebih kerap daripada disangka, merupakan bentuk keganasan yang lazimnya menimpa wanita tanpa disedari atau jarang dilaporkan.
Katanya, sikap masyarakat mempersoalkan sama ada dakwaan dikemukakan adalah palsu juga tidak berasas.
“Realitinya tidak sampai satu peratus aduan gangguan seksual adalah palsu dan lebih malang lagi, majoriti wanita enggan mengemukakan aduan antaranya disebabkan bimbang dikecam masyarakat sekeliling.
“Gejala menghukum mangsa oleh masyarakat hanya akan merumitkan lagi usaha menangani gangguan seksual yang sudah sedia sukar ketika ini, kerana gangguan biasanya berlaku secara peribadi.
“Justeru, kami menggesa masyarakat segera menghentikan respons negatif terhadap wanita yang mengemukakan aduan gangguan seksual, berhenti menormalisasikan perilaku gangguan seksual oleh mana-mana pihak, tidak sesekali memperlecehkan mangsa sebaliknya memfokuskan kepada kesalahan yang dilakukan oleh pelaku,” katanya.
AWAN turut menzahirkan solidariti kepada wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual dan menyeru mereka tidak gentar tampil mendapatkan keadilan serta tidak berdiam diri. – MalaysiaGazette