Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Vaksin COVID-19 yang diperoleh Malaysia adalah selamat dan berkesan serta tidak mengandungi mikrocip untuk mengambil alih pemikiran, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Khairy menerusi catatan di blognya khairykj.com hari ini memaklumkan vaksin yang bakal digunakan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu telah diuji terhadap puluhan ribu penerima sebelum diluluskan.

“Jutaan manusia di seluruh dunia sudah mula menerima suntikan mereka. Tiada bukti vaksin ini memudaratkan nyawa atau kesihatan mereka. Vaksin ini tidak akan mengubah DNA penerima.

“Vaksin ini dihasilkan oleh sains. Kita mesti yakin dengan sains dan bukannya teori konspirasi yang tular dalam kumpulan aplikasi WhatsApp keluarga atau taman perumahan yang memetik sumber palsu. Sains mesti menang,” katanya.

Menerusi catatan sama, beliau turut menolak dakwaan bahawa vaksin itu merupakan agenda Illuminati yang mahu menubuhkan Orde Dunia Baharu.

Sehubungan itu, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menyeru setiap ahli masyarakat agar menyokong program tersebut yang akan bermula akhir bulan ini.

“Apabila tiba masa untuk kita menerima vaksin, segeralah mendaftar agar sasaran untuk mencapai imuniti kelompok dapat dipercepat, yang seterusnya membolehkan proses pemulihan ekonomi disegerakan,” katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan bahawa pendaftaran bagi vaksin COVID-19 dijangka dibuka kepada orang ramai bermula Mac depan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.