KUALA LUMPUR – Pengendalian disiplin pesakit merupakan satu cabaran besar yang dihadapi petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Mereka antaranya perlu berdepan dengan pesakit degil yang merokok malahan berjudi ketika menerima rawatan.
“Pihak pusat rawatan telah membuat laporan polis berhubung kes judi supaya polis boleh siasat dan mengambil tindakan,” kata pengarahnya, Dr. Shahabuddin Ibrahim dalam wawancara dengan Oriental Daily.
Mengenai masalah rokok pula, Dr. Shahabuddin berkata, walaupun pemeriksaan telah dijalankan sebelum pesakit memasuki wad, tetapi masih ada barang larangan yang berjaya “diseludup” masuk.
“Terdapat pesakit yang sangat licik dan ini merupakan satu cabaran buat kami.
“Kami perlu melakukan pemeriksaan mengejut di wad untuk mengesan barang larangan,” katanya kepada Oriental Daily.
Menurutnya, terdapat juga “kes kecil” dan “kes pelik” yang berlaku antara pesakit termasuk insiden curi bantal rakan wad.
Katanya, selain itu terdapat juga pesakit yang bergaduh kerana menerima kepak ayam dalam makanan sedangkan pesakit lain menerima paha.
Ujarnya, kamera juga digunakan untuk memantau pesakit bagi mengelakkan pertikaian menular kepada pergaduhan besar. – MalaysiaGazette
Nasib baik tidak di hantar kuarantin di hotel, kalau tidak lagi parah jahanam nya hotel macam geng kayangan.