KUALA LUMPUR – Laporan dakwaan wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual oleh beberapa orang pesalahlaku amat memalukan dan telah mencalar imej polis, kata Setiausaha DAP, Lim Guan Eng.
Malah beliau berkata, dakwaan itu telah merosakkan keyakinan masyarakat terhadap kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri.
“Perkara ini bukan sahaja tentang kelakuan yang tidak profesional tetapi mencerminkan keruntuhan akhlak kerajaan yang gagal mematuhi SOP Covid-19,” kata Ahli Parlimen Bagan itu pada akaun Twitternya, hari ini.
Guan Eng berkata demikan merujuk kepada dakwaan dua orang wanita yang diganggu secara seksual oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika melalui sekatan jalan raya berhampiran plaza tol di ibu negara, pada Jumaat lalu.
Salah seorang Wanita itu mendakwa beliau diminta mengemuka lesen memandu dan mendakwa didatangi seorang anggota memintanya menunjukkan payudara dan mengugut akan mengeluarkan saman jika pengadu enggan.
Justeri itu, Guan Eng menggesa agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera dan mengheret pelaku berkenaan ke muka pengadilan segera.
“Tindakan tegas harus diambil dengan segera terhadap pesalah kerana rakyat Malaysia kini amat marah dengan mereka yang sepatutnya melindungi anak perempuan dan adik perempuan kita tetapi telah bertindak sebaliknya. Harapkan pagar, pagar makan padi,” kata bekas Menteri Kewangan itu lagi.
Pengarah Jabatan Integriti Pematuhan Standard (Jips) Bukit Aman, Zamri Yahya hari ini berkata, pihaknya telah mengenal pasti anggota yang didakwa mengganggu dua pemandu wanita yang berhenti di sekatan jalan berbeza.
Katanya, siasatan berterusan telah dijalankan berhubung isu kelakuan dan pematuhan prosedur semasa bertugas melibatkan pasukan Jips Kuala Lumpur dan Bukit Aman.
Semalam, dua mangsa wanita itu bertindak memuat naik pengalaman mereka di Twitter dengan mendakwa diganggu ketika diminta berhenti di sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – MalaysiaGazette
Pengadu khabarnya sengaja tak pakai coli nampaknya saja tunjuk payudara terdedah buat naya kat polis bertugas SJR.