Rentas negeri dan daerah masih dikekalkan termasuk dalam negeri PKPB.

KUALA LUMPUR – Mulai Jumaat ini, hanya empat negeri kekal diletakkan bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu sehingga 4 Mac ini, manakala negeri lain, kecuali Perlis dilonggarkan kepada PKP Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, empat negeri masih kekal PKP ialah Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang, manakala Perlis satu-satunya negeri dilonggarkan kepada PKP Pemulihan (PKPP).

Katanya, negeri lain iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah dilonggarkan kepada PKPB.

Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi penilaian risiko dan Jawatankuasa Teknikal memaklumkan pergerakan kes semasa Covid-19 di seluruh negara menunjukkan perubahan.

“Perubahan itu ialah beberapa negeri selain Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang mula menunjukkan trend penurunan termasuk trend import rentas negeri.

“Justeru, kerajaan menerusi sidang khas bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju negeri Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah dilonggarkan kepada PKPB dari 19 Februari hingga 4 Mac ini.

“Perlis adalah satu-satunya negeri yang kesnya sangat berkurangan dan cadangan daripada KKM untuk ditukarkan kepada PKPP,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut beliau, empat negeri di bawah PKP itu masih menunjukkan kes positif Covid-19 yang tinggi.

Bagi Sarawak pula, katanya, kerajaan negeri itu telah mengumumkan lanjutan PKPB mulai 15 Februari lalu hingga 1 Mac ini.

Mengenai aktiviti sama ada di bawah PKPB dan PKPP, ianya sama dengan aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan sewaktu PKPB dan PKPP 1.0 sebelum ini, termasuk SOPnya sama.

Ismail Sabri berkata, MKN telah pun keluarkan SOP dan aktiviti yang berkaitan dalam laman sesawang agensi itu, tetapi beliau akan mengumumkannya secara langsung pada sidang media Khamis ini.

“Di kawasan PKPB, majlis perkahwinan, pertunangan, akad nikah, kenduri, akikah, doa selamat, tahlil dibenarkan, tetapi dengan syarat ada SOPnya. Begitu juga sektor ekonomi dan peruncitan dibenarkan.

“Mesyuarat, bengkel, seminar secara bersemuka juga dibenarkan. Makan di kedai pun dibenarkan mengikut keluasan meja, asalkan ada penjarakan satu meter. Kapasiti kenderaan di kawasan PKPB juga dibenarkan mengikut jumlah tempat duduk,” katanya.

Mengenai larangan pergerakan dalam radius 10 kilometer, katanya, kerajaan bersetuju ianya dibatalkan termasuk dalam kawasan PKP, tetapi pergerakan rentas daerah dan negeri masih dikekalkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast