Kilang berhampiran kawasan penternakan kerang dipercayai punca pencemaran air sungai di Kuala Sungai Juru di sini.

JURU – Episod peternak kerang Kuala Sungai Juru terjejas akibat pencemaran sisa toksik dari kilang berhampiran sejak sedekad lalu masih belum menemui jalan penyelesaian, bahkan kini pembiakan kerang di kawasan itu kian pupus.

Lebih teruk apabila nelayan yang mengharapkan hasil ternakan kerang itu semata-mata kini, berdepan satu lagi ancaman iaitu pembuangan sisa air kapur oleh pengusaha kolam udang yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi ternakan kerang tersebut.

Pengerusi Persatuan Nelayan A Kuala Sungai Juru, Halim Mad Saad mendakwa, kemerosotan hasil kerang dialami sejak 20 tahun lalu disebabkan ancaman pencemaran sisa toksik dari kilang berhampiran sekali gus menyebabkan tumbesaran kerang terbantut serta benihnya mati.

Halim.

Katanya, hasil ternakan kerang merosot lebih 70 peratus menyebabkan ramai nelayan menjual saham dalam persatuan sebelum keluar mencari kerja lain untuk menyara keluarga.

“Sekitar tahun 2000 hasil kerang sangat lumayan di mana kami mampu meraih 2,000 hingga 3,000 guni untuk dieksport ke Thailand, namun sejak 2018 nak dapat satu guni sehari pun susah.

“Bayangkan setiap nelayan perlu menghabiskan masa tiga hingga empat jam untuk mendapatkan mensauh kerang di muara sungai tetapi hasilnya sekadar 20 kilogram tidak cukup untuk menampung kos serta menyara keluarga,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Halim memberitahu, jelas sisa dari kilang berkenaan mencemarkan sungai tersebut memandangkan air sungai bukan saja bertukar jadi hitam berminyak malah turut berbau.

Nelayan perlu menghabiskan masa kira-kira empat jam untuk mensauh kerang di muara sungai bagi mendapatkan hasil.

“Secara mata kasar kita boleh lihat sendiri keadaan air sungai itu akan bertukar hitam dalam dua minggu sekali tetapi kami nelayan tidak tahu toksik apa menyebabkan air yang dahulunya menjadi lokasi ikan lumba-lumba itu bertukar warna.

“Pelbagai aduan sudah disuarakan namun tiada jalan penyelesaian dibuat oleh pihak berwajib sehingga kini malah ada jabatan yang datang mengambil sampel air untuk dianalisa tetapi mereka mendakwa pembiakan kerang bukan terjejas akibat pencemaran dari sisa kilang tersebut,” ujarnya yang sudah menjadi peternak kerang sejak tahun 1993.

Tambah Halim, pihaknya juga kini berdepan masalah membeli benih kerang untuk diternak bagi membolehkan nelayan di kawasan berkenaan memperoleh pendapatan.

“Benih kerang susah nak dapat sekarang dan kami tak berani beli banyak macam dulu kerana lokasi ini agak sukar untuk kerang membiak. Bagi mengelakkan menanggung risiko kerugian persatuan memutuskan untuk membeli 80,000 benih setiap tahun.

“Tak semua orang faham, nelayan yang mengusahakan kerang ini perlu menunggu pembiakan kerang selama setahun sebelum meraih hasilnya, itu belum masuk kadang-kadang nelayan haram datang curi kerang di lot kami,” katanya.

Golongan nelayan sedang membersihkan kerang untuk dijual kepada peraih.

Sementara itu, seorang bekas nelayan yang ingin dikenali sebagai Badar berkata, dia terpaksa meninggalkan kerja nelayan ekoran hasil ternakan kerang tidak cukup untuk menyara keluarganya.

“Kali terakhir kami memperoleh hasil lumayan pada tahun 2014 iaitu setiap nelayan mendapat RM30,000 tetapi kini nak dapat RM1,000 pun susah kerana benih kerang cepat mati dan kerang pula tidak besar macam dulu sekali gus menyebabkan peraih meletakkan harga jualan rendah.

“Dulu kami eksport ke Thailand dan Singapura, namun kini kerang semua untuk pasaran tempatan di Kuala Lumpur, Melaka dan Johor. Saya harap kerajaan negeri serta jabatan bertanggungjawab memadang serius isu di Kuala Sungai Juru agar nasib nelayan di sini terbela,” kata Badar.

Harga kerang yang dijual kepada peraih bergantung pada saiznya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Luar Bandar Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Yusuf meminta Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perikanan menyiasat dakwaan nelayan di Kuala Sungai Juru berhubung kematian kerang yang dipercayai berpunca dari sisa toksik kilang dan sisa buangan ternakan udang.

“Hasil siasatan ujian sampel air dan kerang mesti dedahkan kepada umum secepat mungkin bagi membolehkan jalan penyelesaian berkaitan isu ini dapat dicapai.

“Selain berdepan kepupusan, isu kerang perlu ditekankan agar tidak berlaku kenaikan harga kerang di pasar yang sekali gus akan membebankan pengguna,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Video berkaitan :