Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata pihaknya menyokong implementasi UNDI 18 yang bakal diwartakan pertengahan tahun ini.

Menurut Ketua Penerangan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, kenyataan ketuanya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai perkara itu sebelum ini didakwa telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

“UNDI 18 telah diangkat secara dasar sebagai agenda ARMADA sejak mula sehingga kini, justeru tiada pertikaian atas pendirian mana-mana kepimpinan ARMADA terkait UNDI 18.

“Hal yang menjadi masalah adalah apabila penjelasan Ketua ARMADA Nasional dimanipulasi oleh segelintir pihak apabila Ketua ARMADA Nasional, Wan Ahmad Fayhsal menekankan perihal edukasi politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Armada ekoran kata-kata Wan Ahmad Fayhsal yang menafikan beliau menolak pelaksanaan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun seperti dilaporkan media Isnin lalu.

Laporan portal media itu memetik ucapan beliau ‘anak muda Malaysia belum bersedia untuk menggunakan hak mengundi dan beberapa bentuk pendidikan politik perlu diinstitusikan terlebih dulu’.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata demikian dalam program bicara maya dikenali ‘Clubhouse’ yang membincangkan isu mengenai Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu pernah membangkitkan perkara itu dalam artikel diterbitkan BH bertajuk ‘Undi 18 terajui perubahan politik negara’ pada tahun 2019 yang antara lain menyentuh kepentingan pendidikan pengundi supaya mereka mampu membuat keputusan yang adil dalam apa juga keadaan.

“Apa yang saya katakan dalam Clubhouse dua hari lalu tidaklah berbeza daripada apa yang nukilkan hampir dua tahun lalu.

“Sebuah negara yang mengamalkan sistem sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, kita memerlukan program pendidikan pengundi seperti keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, peranan raja sebagai payung negara, serta fungsi demokrasi untuk mempertahankan negara kita sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat,” katanya.

Justeru, Armada menyeru agar pendekatan mendidik mengenai pelaksanaan Undi 18 tahun diutamakan oleh kerajaan dalam memastikan golongan sasaran lebih faham akan pelaksanaan itu.

“Sejak awal perancangan UNDI 18 dibawa ke Parlimen, route atau mapping memberi pemahaman kepada anak muda peringkat sekolah mengenai demokrasi Malaysia serta pemahaman asas politik telah diusahakan melalui Malaysia Future Leaders School (MFLS), Sekolah Rukun Negara dan juga beberapa program UNDI18 di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini.

“Ini sejajar dengan hasrat kelulusan peringkat Parlimen yang prihatin untuk melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab atas hak dan pilihannya bukan dek kerana peranan ‘populist’ semata di samping menanamkan ilmu demokrasi dan kenegaraan melibatkan entiti non-partisan,” jelas Mohd Ashraf.

Untuk rekod, pada 25 Julai 2019, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.

Penguatkuasaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast