KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan kes kematian tertinggi jangkitan Covid-19 iaitu sebanyak 25 kes pada hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian di negara ini meningkat kepada 1,030 kes, bersamaan 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Kanak-kanak berusia tiga tahun merupakan antara korban terbaharu akibat Covid-19 pada hari ini.
Kes kematian ke 1,027 itu berklau kepada kanak-kanak bukan warganegara di Sabah.
“Kanak-kanak itu meninggal dunia di Hospital Duchess
of Kent, Sandakan akibat barah otak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut terkorban adalah wanita berusia 100 bukan warganegara yang meninggal dunia di Selangor.
Wanita itu meninggal dunia dengan latar belakang penyakit darah tinggi.
Kali terakhir Malaysia merekodkan kadar kematian tertinggi adalah sebanyak 24 kes pada 8 Februari lalu.
Semalam kes kematian juga tinggi dengan 22 kes.
Dalam perkembangan yang sama, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 2,712 kes harian Covid-19 baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu melibatkan 2,708 kes tempatan dan empat kes import.
Pertambahan tersebut menjadikan sejumlah kes aktikf Covid-19 sebanyak 38,763 kes.
Daripada jumlah tersebut, 227 kes sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 103 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.
Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 274,875 kes, dengan bilangan kes sembuh Covid-19 pula adalah sebanyak 235,082 kes.
Dr Noor Hisham berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,013 kes diikuti Johor (426), Kuala Lumpur (212), Negeri Sembilan (81), Sarawak (200), Perak (198), Sabah (114), Terengganu (19), Pulau Pinang (116), Kelantan (43), Kedah (182), Melaka (38), Pahang (52), Putrajaya (7), Perlis (6) dan Labuan lima kes.
Menurutnya, sebanyak 5,320 kes sembuh dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pulih kini 235,085 kes. – MalaysiaGazette