KUALA LUMPUR – Pengenalan pelan inisiatif MyDIGITAL yang diumumkan Perdana Menteri hari ini jelas membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membangunkan negara menerusi teknologi digital yang lebih mampan.
Ia selaras dengan perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan mendukung semangat harmoni dan perpaduan dalam kemajmukan masyarakat berbilang kaum, kata Ketua Badan Pimpinan Negeri, Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya.
Beliau berkata, semenjak Perikatan Nasional menerajui negara, banyak perkara diwujudkan dan semua pihak dapat merasai apa yang diberikan itu.
“Mendengarkan ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berhubung perkara itu, ia memberikan satu gambaran bahawa Malaysia sedang terus mara kedepan.
“Dalam banyak perkara, Malaysia tidak pernah ketinggalan dan rangka tindakan ekonomi digital yang sedang dipacu oleh kerajaan menjamin kelestarian negara ini pada masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Justeru, Muhammad Suhaimi berkata, semua pihak wajar memberikan sokongan padu kepada kerajaan agar segala yang direncanakan dapat dilakukan dengan jaya nya.
Tambah beliau, meskipun mungkin terdapat perbezaan pendapat berkaitan politik yang tidak sealiran, namun dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai semua negara maju berteknologi, langkah berterusan dalam membangunkan negara perlu disokong semua pihak.
Terdahulu hari ini, Muhyiddin melancarkan MyDIGITAL & Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.
Inisiatif MyDIGITAL yang merangkumi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia merupakan pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
Ia menetapkan gabungan inisiatif dan sasaran merentasi tiga fasa pelaksanaan hingga tahun 2030. – MalaysiaGazette