Dr. Mohd Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan pembukaan semula sekolah dalam dua peringkat.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sekolah kebangsaan akan dibuka pada 1 Mac depan melihatkan pelajar sekolah rendah darjah satu dan dua.

“Untuk murid sekolah rendah pra sekolah, tahun satu dan dua di seluruh negara akan hadir ke sekolah bermula pada 1 Mac depan.

“Bagi murid-murid lain iaitu tahun 3 hingga 6 akan mula hadir ke sekolah 8 Mac depan,” katanya dalam sidang media maya, hari ini.

Tambah beliau, keputusan itu dicapai agar murid pra sekolah, tahun satu dan dua akan ke sekolah terlebih dahulu untuk memberikan ruang kepada guru-guru bagi membiasakan mereka dengan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.

Di peringkat menengah pula, KPM mengambil pendekatan untuk membuka semula sekolah menengah pada 4 April depan mengikut negeri masing-masing.

Negeri-negeri itu adalah Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Bagi negeri-negeri lain pula semua sekolah menengah akan dibuka pada 5 April ini.

Bercakap mengenai sekolah swasta, Radzi berkata, semua sekolah rendah dan menengah akan mengikut jadual sekolah kerajaan.

“Sekolah swasta secara umumnya mengikuti jadual sekolah kerajaan, jika kita lihat sekolah rendah tahun satu dan dua juga akan hadir ke sekolah pada 1 Mac dan tahun tiga hingga enam hadir pada 8 Mac.

“Sekolah menengah swasta juga akan dibuka pada 4 dan 5 April,” katanya.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, langkah itu bagi memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar pada Isnin depan.

“Peperiksaan SPM kali ini amat berbeza kaedah pelaksanaannya berbanding tahun sebelum ini, SOP untuk SPM adalah amat terperinci dan ketat bagi memastikan calon-calon SPM dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan tenang dan selamat.

“Untuk SPM kali ini, bukan sahaja dewan peperiksaan perlu disediakan tapi kita juga menyediakan bilik altenatif sekiranya berlalu apa-apa melibatkan calon yang boleh digunakan,” katanya lagi.

Bagi memastikan tiada sebarang jangkitan kepada mana-mana calon, mereka yang menunjukkan gejala Covid-19 akan diasingkan dan disediakan bilik khas kepada pelajar terbabit.

Begitu juga calon yang mempunyai dua kertas sehari, mereka juga akan ditempatkan dalam bilik transit.

Dalam pada itu, kolej vokasional akan dibuka mulai 1 Mac depan bagi peringkat sijil dan diploma tahun satu.

Seterusnya sekolah antarabangsa dan unit pendidikan swasta akan dibuka pada 8 Mac depan. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Woiiii men3… Yg ibubapa bergolok bergadai membeli gadget ni apa cerita… Ko ingt diorng beli dgn rumput ker

Comments are closed.