Masyarakat Cina dibenar melakukan ibadat sepanjang PKP, PKPB, PKPP.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 19 Februari hingga 4 Mac 2021.

Kebenaran pembukaan RIBI ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pembukaan Rumah Ibadat yang telah diluluskan dan syarat-syarat nyata dalam SOP antara lain adalah seperti berikut:

Pembukaan rumah ibadat bukan Islam (19 Februari hingga 4 Mac)

A. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
a) Bilangan kehadiran penganut tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa;
b) Waktu sembahyang di RIBI adalah bermula dari:
i. 6.00 pagi hingga 2.00 petang; dan
ii. 4.00 petang hingga 10.00 malam.

B. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

a) Bilangan kehadiran penganut di RIBI adalah dibenarkan tidak melebihi 50% daripada saiz ruang rumah ibadat dan tertakluk kepada ketetapan MKN serta pertimbangan Kerajaan Negeri dan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi rumah ibadat di Wilayah Persekutuan;

b) Tempoh waktu sembahyang di RIBI adalah tertakluk kepada pengurusan RIBI masing-masing;

C. Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

a) Bilangan kehadiran penganut di RIBI adalah dibenarkan mengikut saiz ruang rumah ibadat;
b) Tempoh waktu sembahyang di RIBI adalah tertakluk kepada pengurusan RIBI masing-masing;

Kementerian Perpaduan Negara berkata, kerajaan juga bersetuju upacara sembahyang bersempena Perayaan Chap Goh Mei yang akan disambut pada 26 Februari 2021 semasa tempoh PKP, PKPB dan PKPP adalah tertakluk kepada SOP yang telah diluluskan dan syarat-syarat nyata dalam SOP tersebut antara lain adalah seperti berikut:

A. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
a) Bilangan kehadiran penganut tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa;
b) Waktu sembahyang di RIBI terdiri daripada dua (2) sesi iaitu:
i. 6.00 pagi hingga 2.00 petang; dan
ii. 4.00 petang hingga 10.00 malam.
c) Aktiviti sembahyang pada tarikh 26 Februari 2021 dibenarkan di halaman rumah masing-masing tetapi tidak boleh melepasi kawasan halaman rumah;

B. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
a) Aktiviti keagamaan / sembahyang di RIBI dibenarkan dengan
kehadiran bilangan penganut tidak melebihi 50% daripada saiz ruang rumah ibadat dan tertakluk kepada ketetapan MKN serta pertimbangan Kerajaan Negeri dan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi rumah ibadat di Wilayah Persekutuan;

b) Tempoh waktu sembahyang di RIBI adalah tertakluk kepada pengurusan RIBI masing-masing;

c) Aktiviti sembahyang pada tarikh 26 Februari 2021 dibenarkan di halaman rumah masing-masing tetapi tidak boleh melepasi kawasan halaman rumah;

C. Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)
a) Aktiviti keagamaan / sembahyang di RIBI dibenarkan dengan
kehadiran bilangan penganut mengikut saiz ruang rumah ibadat
dengan penjarakan fizikal;
b) Tempoh waktu sembahyang di RIBI adalah tertakluk kepada pengurusan RIBI masing-masing;

c) Aktiviti sembahyang pada tarikh 26 Februari 2021 dibenarkan di halaman rumah masing-masing tetapi tidak boleh melepasi kawasan halaman rumah;

Kementerian Perpaduan Negara menasihati semua penganut yang melakukan aktiviti keagamaan/sembahyang di rumah ibadat di seluruh negara agar mematuhi SOP di atas bagi memastikan tiada penularan wabak di kalangan penganut-penganut
dan bersama-sama membudayakan norma baharu untuk memutuskan rantaian Covid-19. – MalaysiaGazette