Abdul Rahman Dahlan
Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah tidak boleh memasuki pilihan raya dalam keadaan tidak ada kekuatan kendiri atau persediaan yang mantap.

Atau lebih malang lagi, parti itu tidak boleh bergantung kepada kekuatan pihak lain dalam pilihan raya umum nanti, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Ketua UMNO Bahagian Tuaran itu berkata, parti perlu menyumbang sebanyak mana kerusi Parlimen kepada pembentukan kerajaan pusat yang bakal ditunjangi oleh UMNO selepas PRU-15.

“Selama hampir tiga tahun, negara tidak stabil dan ekonomi dalam keadaan yang lemah. Pengalaman mentadbir negara sejak merdeka dengan dasar-dasar ekonomi yang mantap dan visi masa depan negara akan UMNO/BN pertaruhkan dalam pilihan raya Parlimen nanti.

“InsyaAllah UMNO mahu memperbaiki strateginya. UMNO yang bakal bertanding dalam PRU-15 adalah UMNO yang sudah mengerti erti kekalahan dan erti kelemahan dan belajar darinya,” ujarnya dalam satu kenyataan sempena ulang tahun ke-30 UMNO Sabah hari ini.

Menurut Abdul Rahman, pengalaman UMNO naik dan turun dalam politik menjadikan parti itu lebih matang dan dewasa.

“Kekalahan dalam PRU-14 membuka mata UMNO bahawa strategi dan pendekatan baru untuk meraih sokongan rakyat akan dilakukan.

“Kalau UMNO mampu bangkit kembali selepas Mei 2018, tidak mustahil ia akan kembali berkuasa selepas PRU-15 dengan dasar mesra rakyat dan dasar mesra ekonomi,” ujarnya.

Terdahulu, Abdul Rahman berkata, kelahiran UMNO Sabah telah menstabilkan politik negeri berkenaan yang sebelum itu sering bergelora terutamanya politik bumiputera Islam dan UMNO telah berjaya menyatukan politik bumiputera Islam sehingga lahirnya kestabilan politik sepanjang 30 tahun yang lalu.

Malah, katanya, ramai orang bumiputera bukan Islam turut menjadi ahli UMNO kerana mereka percaya kepada keupayaan UMNO dan BN mentadbir negeri dan negara.- MalaysiaGazette