Eemrun muncul dengan lagu Emosi.

KUALA LUMPUR – Seawal di bangku sekolah lagi, dia sudah mula belajar dan mengenal pelbagai genre muzik antarabangsa termasuk muzik underground.

Pendedahan itu sekali gus mendorong penyanyi remaja berusia 17 tahun ini mengikut jejak langkah itu.

Ketika berusia 13 tahun pula, penyanyi yang ingin dikenali sebagai Eemrun ini mula mencipta lagu dan menulis lirik.

Walaupun bergerak secara underground, Eemrun atau nama sebenarnya Muhammad Imran Daniel Mohammad Salahuddin tetap berasa puas.

Pada usia 15 tahun, Eemrun melangkah setapak lagi apabila mula menerbitkan lagu yang dihasilkan. Bermula dengan memperdengarkan kepada rakan-rakan seterusnya muat naik di saluran YouTube.

Sejak itu, Eemrun yakin untuk terus memperjuangkan apa yang sudah dimulakan dan sebagai permulaan, dia memberanikan diri melangkah ke pasaran muzik tempatan secara komersial dengan mempertaruhkan lagu Emosi.

Dari pemuzik underground, Eemrun kini mampu mengukir senyuman apabila lagu Emosi dilancarkan secara rasmi termasuk video muzik di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Lagu hasil ciptaan sepenuhnya Eemrun dengan sentuhan bersama penerbit Efry Arwis, yang bergenre balada itu dihasilkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, idea dan melodi lagu itu datang secara tiba-tiba pada pukul 3 pagi tatkala dirinya bergelut dengan emosi selepas kematian neneknya.

“Lagu ini mempunyai mesej yang sangat mendalam. Ketika itu saya rasa diri kosong dan tidak mempunyai emosi selepas kematian nenek. Saya hilang tempat mengadu. Apa saya lalui dan rasa, saya terjemahkan dalam lagu ini.

“Apabila pendengar mendengar lagu ini, mungkin mereka boleh kaitkan dengan cinta atau ketika kehilangan seseorang. Apa yang penting, saya mahu pendengar faham maksud tersirat pada setiap bait lirik lagu ini.

“Bagi saya, lagu Emosi kena dengan cita rasa orang kita yang mana mereka boleh terima melodi yang dipersembahkan dalam lagu ini. Kalau mereka mendengar pasti dapat rasa dan boleh dijadikan terapi,” katanya.

Berkongsi mengenai langkahnya terjun dalam pasaran muzik komersial, Eemrun berkata, ia satu lagi percubaan baharu dalam hidupnya seperti mana ketika terbabit dalam muzik underground.

“Sebelum ini saya artis underground saja. Saya buat lagu dan muat naik di YouTube. Selepas menghasilkan 20 lagu, kiranya lagu Emosi ini adalah yang pertama menjengah pasaran komersial. Semua lagu dihasil dan disiapkan sendiri di rumah.

“Apabila melangkah secara rasmi dalam pasaran muzik komersia, saya anggap ini adalah perkara baharu yang saya perlu cuba. Sama seperti underground dulu. Cuma, apa boleh dikatakan kali ini saya nak ‘upgrade’ diri. Dalam masa sama, saya percaya dengan hasil kerja, sebab itu nak masuk secara komersial,” katanya.

Menjadikan pemuzik underground di Amerika Syarikat, Linkin Park dan ramai lagi sebagai rujukan muziknya, Eemrun tetap tidak melupakan pemuzik tempatan.

Malah, lagu-lagu daripada kumpulan Hujan, Bunkface dan YonnyBoi antara yang menjadi perhatiannya.

Lagu Emosi kini sudah tersedia di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox dan video muzik ditayangkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia. – MalaysiaGazette