Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika melancarkan Residensi Prihatin di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan memperkenalkan Residensi Prihatin bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman yang selesa dengan persekitaran yang selamat, sihat dan sejahtera.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, usaha itu merupakan salah satu program pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan yang sentiasa menjadi agenda utama pihaknya.

Katanya langkah itu penting kepada pihaknya dalam usaha untuk memperkukuhkan society safety net rakyat sejajar dengan matlamat Inisiatif Wilayah Prihatin (IWP).

“KWP dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) membangunkan sebanyak 12,253 unit Residensi Prihatin berkeluasan 750 kaki persegi dengan melibatkan 10 tapak projek
pembangunan di Putrajaya membabitkan kawasan strategik di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19.

“Projek-projek ini sedang dalam peringkat perancangan dengan pembinaan keseluruhannya dijangka siap sepenuhnya sehingga tahun 2025,” katanya dalam pelancaran secara maya hari ini.

Daripada jumlah itu, tambah Annuar, sebanyak 1,592 unit Residensi Prihatin Kenanga dan Melur yang akan dibangun, dijual pada harga RM200,0000 iaitu lebih rendah daripada harga pasaran.

Menurut beliau, kos itu tidak termasuk kos nilai tanah di Putrajaya dan kedua-dua residensi itu akan dibangunkan oleh syarikat pemaju Tetuan Protasco Development Sdn. Bhd. yang menandatangani Perjanjian Pembangunan (D.A.) hari ini.

Bagi memastikan kumpulan sasar yang tepat beroleh manfaat tersebut, permohonan Residensi Prihatin memberi penekanan kepada pemohon bagi rumah pertama dan masih belum memiliki rumah.

Justeru jelasnya, para petugas barisan hadapan termasuk pengamal media  juga boleh memohon dan akan diberi prioriti untuk membantu mereka memiliki rumah sendiri.

“Keutamaan turut diberikan kepada penjawat awam dan pembeli-pembeli yang terdiri daripada kumpulan keluarga muda di samping penetapan syarat minimum 60 peratus daripada jumlah unit pembangunan ini akan diperuntukkan kepada kuota bumiputera bagi mengatasi masalah pemilikan rumah oleh kumpulan B40.

“Pembangunan Residensi Prihatin ini meliputi kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak dan tempat letak kereta berbumbung bagi memastikan persekitaran hidup yang lebih kondusif dan berkualiti,” katanya.

Individu yang lahir, menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan yang berminat untuk memiliki unit Residensi Prihatin ini, boleh membuat pendaftaran permohonan secara atas talian di portal Residensi Prihatin https://residensiprihatin.kwp.gov.my. bermula esok.

Justeru Annuar berkata, permohonan terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan kasar tidak melebihi RM5,000 sebulan dan keutamaan diberikan kepada pemohon belia yang telah berkahwin.

Bagi lelaki di bawah 21 tahun yang ingin mendapatkan rumah bawah skim itu dan ibu bapa mereka boleh menjadi penjamin kedua boleh memohon manakala yang sudah berkeluarga dan membayar sewa antara RM700 dan RM800 sebulan untuk tempoh lama juga boleh memiliki kediaman bharu yang ditawarkan ini.

Dokumen–dokumen yang diperlukan oleh urusetia daripada pemohonan yang layak akan dimaklumkan terus kepada pemohon melalui e-mel.

“Kementerian berharap pelaksanaan program di bawah Cakna Perumahan ini dapat mengatasi isu kesukaran pemilikan rumah di Wilayah Persekutuan terutama sekali kepada golongan
muda,” tegas beliau.- MalaysiaGazette