Ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19 di Malaysia. foto: SYAFIQ AMBAK.

KUALA LUMPUR – Semalam ‘kedatangan’ vaksin Covid-19 pertama ke negara ini memberikan kelegaan kepada majoriti rakyat Malaysia.

Ramai melihat proses bersejarah itu yang disiarkan secara langsung dengan harapan penularan pandemik global akan berkurangan dalam masa terdekat.

Rata-rata mereka tidak sabar untuk mendapatkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech demi melindungi diri daripada wabak yang sudah setahun lebih menghantui negara dan mahu kehidupan semula kehidupan normal seperti sebelum ini.

Farah Shahrizat. Foto SHAFIY ZUL, 22 FEBRUARI 2021.

Suri rumah, Farah Shahrizat, 44, berharap vaksin itu juga akan membantu negara ‘pulih’ khususnya dalam bidang ekonomi sekaligus menjadi pemangkin semula kehidupan rakyat yang terjejas.

“Saya harap hidup kita kembali normal selepas pemberian vaksin ini, saya tahu memang tidak akan boleh secepat yang mungkin. Saya pasti beberapa tahun lagi tapi kita ada peluang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebagai suri rumah, isteri dan ibu, Farah akan memastikan bukan sahaja dirinya malah seisi keluarga mengambil vaksin berkenaan.

“Saya akan ambil vaksin itu, sudah pasti,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyuarakan kekesalannya terhadap sikap golongan antivaksin yang menyebarkan maklumat tidak sahih demi memburukkan vaksin Covid-19.

Jelas beliau, sudah terang lagi bersuluh vaksin berkenaan dicipta untuk melindungi diri daripada penularan wabak Covid-19 yang telah meragut ribuan nyawa.

BACA: Vaksin Pfizer-Biontech tiba di KLIA

Justeru Farah berharap agar golongan aktivaksin mengubah fikiran mereka dan membuat keputusan tepat untuk mengambilnya demi keselamatan semua pihak.

“Saya betul-betul tidak faham kenapa mereka menolak vaksin? Ini adalah benda baik saya tidak faham mengapa mereka tidak percaya dan sebarkan berita buruk tentangnya, cakap vaksin tidak baik dan semuanya.

“Saya harap mereka akan ubah fikiran mereka dan akan terbuka hati untuk ambil vaksin jadi semua akan selamat,” katanya.

Nurhafizah Suib. Foto SHAFIY ZUL, 22 FEBRUARI 2021.

Begitu juga pandangan seorang pegawai pemasaran, Nurhafizah Suib, 30, yang mengakui akan mengambil tanggungjawab penuh kepada diri sendiri dan mahu orang lain juga tidak menolak vaksin.

Apatah lagi menurutnya, kerajaan sudah menunjukkan komitmen penuh untuk memastikan rakyat menerima vaksin ini.

“Saya betul-betul tidak sabar dan saya harap semua rakyat Malaysia akan terima vaksin ini. Sebab macam tidak logik nak jadi antivaksin.

“Memang patut ambil vaksin, kerajaan ambil tidak bayar pun jadi kita perlu ambil.” katanya sambil menghargai usaha kerajaan untuk melindungi setiap rakyatnya.

Beliau juga berharap agar proses pemberian vaksin dalam negara yang dijadualkan bermula pada Rabu ini akan berjalan lancar di semua peringkat.

Seorang ahli perniagaan, Khairul Zawawi, 51, pula berpandangan maklumat tentang keberkesanan vaksin juga perlu disebarkan secara meluas melalui pelbagai platform untuk mendidik rakyat.

Ini kerana masih ada yang meragui tentang keberkesanan vaksin, katanya.

“Saya bukan golongan antivaksin. Bagi saya, vaksin ini bagus tapi kena pastikan bagus kalau hanya sekadar uji kaji kepada rakyat itu tidak bagus.

“Walaupun kerajaan sudah suruh rakyat ambil vaksin ini tapi ramai yang masih berteka-teki sama ada mahu ambil atau tidak.

“Perlu bagi tahu keseluruhan tentang vaksin, memang sesuatu benda itu ada bagus dan tidaknya tapi biar semua orang tahu supaya dia nak buat keputusan ambil tidak terpaksa. Ya, memang kena ambil tapi kena ada keyakinan juga,” katanya.

BACA: Beri pampasan jika penerima vaksin ada kesan sampingan serius

Ditanya tentang inisiatif kerajaan mewujudkan Skim Perlindungan Program Imunisasi Vaksin Kebangsaan Covid-19 untuk melindungi para penerimanya termasuk memberi pampasan bagi yang mengalami kesan sampingan, Khairul berkata, ia perlu dipertimbangkan semula kerana ia boleh mengakibatkan timbul persepsi rakyat akan meragui keberkesanan vaksin.

“Kalau sudah kena kesan sampingan itu (baru dapat pampasan) macam lambat orang akan fikir untuk ambil. Pendedahan tentang vaksin biar tepat, itu penting,” kata Khairul lagi.

Raymond Jacob. Foto SHAFIY ZUL, 22 FEBRUARI 2021.

Selain itu, bagi pesara, Raymond Jacob, 74, mengakui  ‘dihantui’ dengan pelbagai  berita buruk yang tersebar di seluruh dunia mengenai kesan pengambil vaksin.

Penyebaran pelbagai maklumat yang tidak dapat disahkan kebenarannya mengakibatkan timbul sedikit keraguan kepadanya berkenaan keberkesanan vaksin tersebut.

Justeru, bagi mengambil langkah berjaga-jaga, Raymond mahu melihat pelaksanaan kumpulan pertama penerima vaksin Pfizer BioNTech terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

BACA: Vaksin Covid-19 kena sentiasa dipantau rapat – Noor Hisham

Seperti Khairul, Jacob berpandangan kerajaan perlu memberi maklumat yang tepat mengenai vaksin kerana ia melibatkan keselamatan rakyat.

“Masalahnya sekarang, banyak persepsi negatif di mana-mana sahaja di seluruh dunia tentang vaksin ini. Ada yang jatuh sakit selepas ambil vaksin ini.

“Jadi, sekarang rakyat sedang mempertimbangkan adakah betul atau tidak, ada yang kata vaksin ini bagus ada yang tidak. Banyak negatif tentang vaksin ini ada juga, di media sosial banyak tersebar.

“Kalau saya, saya mahu tengok dulu kumpulan pertama yang mengambil vaksin ini, sekiranya tidak ada kesan dan kemudian baharulah saya akan ambil tanpa rasa ragu,” ujarnya.

BACA: Muhyiddin, Noor Hisham terima suntikan pertama vaksin Rabu ini – KJ

Untuk rekod, ketibaan 312,390 dos vaksin Pfizer BioNTech semalam maka kerajaan memutuskan untuk mengawalnya melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Program iminusasi itu dijadualkan sepatutnya bermula Jumaat akan diawalkan ke Rabu ini dan antara para penerima pertama adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.-MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

MGNews : Ketibaan Vaksin Covid-19 Beri Kelegaan Kepada Rakyat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast