Hashim Jasin. foto ADIB AIMAN ROSLI , 08 APRIL 2017
Hashim Jasin.

KANGAR – Pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya beri keuntungan kepada musuh, kata Mursyidul Am Pas.

Justeru Datuk Hashim Jasin berharap Pas, Bersatu dan UMNO bekerjasama dan jika tidak ia akan merugikan ummah dan dibimbangi boleh menggugat kestabilan politik negara.

“Kita mesti belajar daripada PRU lepas, walaupun masuk bertanding banyak tetapi kemenangan hanya sedikit kerana berlaku pertembungan tiga penjuru.

“Tiada parti akan mendapat keuntungan, Pas, UMNO dan Bersatu semua akan rugi jika berlaku pertandingan tiga penjuru. Susah untuk kita mencapai kemenangan, sedangkan kita mempunyai peluang besar jika bersatu,” katanya memetik laporan Harakahdaily hari ini.

Hashim berkata, kemenangan mungkin boleh berlaku dengan gandingan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) namun kekuatan makin bertambah dengan kehadiran Bersatu.

“Kita mahukan kemenangan majoriti sehingga kita boleh mengubah perlembagaan ke arah memperkasakan perundangan Islam.

“Sebab itu Pas beria-ia menyatukan ketiga-tiga parti tersebut walaupun pada peringkat permulaan hanya dengan UMNO tetapi ke arah untuk mencapai matlamat itu perlu ajak bersama Bersatu,” katanya.

Beliau berharap hubungan antara Umno dan Bersatu dapat diperbaiki kerana masing-masing mempunyai musuh yang sama iaitu Pakatan Harapan (PH).

Tegasnya juga pendirian Pas masih sama iaitu memperkukuhkan kerjasama dengan Umno melalui MN dan memperkasa hubungan dengan Bersatu melalui PN.

“Kita tidak akan berhenti mengajak UMNO dan Bersatu untuk bersama, malah usaha ini tidak akan berakhir dan berterusan sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.- MalaysiaGazette