KUALA LUMPUR – Peniaga yang gagal menyediakan tong sampah di premis masing-masing boleh dikompaun sehingga RM1,000.
Pengarah Perkhidmatan Persekitaran Majlis Perbandaran Klang, Zaireezal Ahmad Zainuddin berkata, tindakan itu dilakukan bagi mengatasi masalah premis kotor yang masih berulang.
“Sepatutnya perkara ini tidak boleh berlaku kerana penyediaan tong sampah adalah antara salah satu syarat ketika memohon lesen.
“Justeru, kami akan pantau dari semasa ke semasa selain melaksana penguatkuasaan,” katanya.
Sementara itu, wakil rakyat Sentosa, Dr Gunaraj George memaklumkan notis pemberitahuan untuk menyediakan tong sampah telah dihantar kepada peniaga pada 18 Februari lalu.
Jelasnya, peniaga perlu menyediakan tong sampah bertutup dengan isi padu 240 liter dalam tempoh tujuh hari selepas notis tersebut dihantar. – MalaysiaGazette