PUTRAJAYA – “Saya ambik suntikan vaksin untuk melindungi diri dan keluarga,” kata penerima kedua suntikan vaksin Pfizer BioNTech, Clement Marai Francis.
Pemandu Pejabat Kesihatan Putrajaya itu berkata, tugasnya yang hampir setiap hari dengan membawa pesakit Covid-19 ke hospital membuatkan dirinya bersyukur mendapat suntikan vaksin keluaran Pfizer itu.
“Saya bertugas menghantar kes Covid-19. Pemandu di Pusat Kesihatan juga ada pertukaran kerja setiap tiga bulan dan kami juga terbabit dalam mengambil sampel ujian dari hotel.
“Saya rasa bersyukur dapat lindungi diri sendiri. Kita sudah tidak rasa takut-takut apabila bersama dengan keluarga bila balik kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menjadi penerima pertama vaksin Pfizer BioNTech bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Selain Clement, tiga lagi petugas barisan hadapan adalah Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya, Dr. Tan Yee Ling; Penolong Pegawai Perubatan di PKD Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya, Sheilla Mellissa Sikin.
Bagi Khairul Asraf, 44, tugasnya secara langsung yang berdepan dengan Covid-19 membuatkan beliau berterima kasih kepada kerajaan untuk suntikan vaksin.
Setelah 30 minit disuntik, Khairul berkata, dirinya tidak mengalami sebarang alahan atau kesan sampingan.
“Saya berharap proses pelalian ini akan berjalan dengan lancar dan semua rakyat Malaysia dapat memberi kerjasama dalam mengurangkan penularan pandemik.
“Selain itu, saya berharap agar semua petugas barisan hadapan dapat mengambil suntikan vaksin Covid-19.
“InsyaAllah kita ikhtiar dan tawakal kepada Allah SWT,” katanya.
Bagi Yee Ling, 30, pula beliau berasa bersyukur dan sangat berbangga terpilih sebagai antara petugas barisan hadapan pertama yang menerima vaksin.
“Saya harap program ini dapat membantu menghentikan wabak ini,” katanya.
Turut menerima suntikan adalah jurusuntik vaksin kepada Muhyiddin, Lina Ibrahim yang mengakui perasaan berdebar-debar ketika mahu disuntik walaupun sudah biasa menyuntik pesakit.
“Saya rasa berbangga juga kerana saya dipilih antara jururawat yang berada di sini. Perasaan itu memang sangat mendebarkan tetapi alhamdulillah segalanya sudah selesai.
“Saya sudah selesai amanah yang telah dipertanggungjawabkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette