Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad AL-Bakri (kanan) bersama Pengerusi Ekskutif Kumpulan Syarikat KK, Datuk Seri Dr. KK Chai melihat barang-barang keperluan asas selepas merasmikan Kaunter Bait Al-Mahabbah bagi membantu asnaf Putrajaya di Masjid Putra, Putrajaya. Foto HAFIZ SOHAIMI, 26 FEBRUARI 2021.

PUTRAJAYA – Masjid bukan sahaja dijadikan tempat untuk beribadah sebaliknya boleh diimarahkan sebagai pusat membantu golongan kurang berkemampuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pengimarahan masjid sebagai pusat bantuan bagi golongan tersebut boleh menghidupkan lagi keceriaan rumah Allah itu dengan pelbagai aktiviti yang berguna.

Katanya, bantuan yang diberikan bukan sahaja untuk umat Islam semata-mata tetapiĀ  juga boleh diberikan kepada orang bukan Islam yang benar-benar memerlukan.

“Kami pernah menggariskan bahawa pengimarahan masjid yang akan dilancarkan pada Mac perlu memperkasakan masjid sebagai tempat ibadat dan makruf.

“Begitu juga tempat menimba ilmu dan disamping itu, inilah sifat yang dipanggil tolong menolong kepada mereka yang memerlukan.

“Insya Allah kita akan memperkasakan lagi ke masjid-masjid lain supaya ia nampak mesra kepada seluruh ummah bukan semata-mata kepada orang Islam tapi bukan muslim juga kita akan santuni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran dan Penyampaian Al Musa’adah Bait Al- Mahabbah di Masjid Putra di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli mengajak orang ramai tidak kira umat Islam mahupun bukan Islam untuk sama-sama menderma kepada kaunter Bait Al- Mahabbah untuk sama-sama membantu golongan kurang bernasib baik.

Katanya, tidak akan jatuh miskin kepada orang-orang yang membantu sebaliknya rezeki mereka akan bertambah kerana perkara itu sememangnya dijanjikan oleh Allah S.W.T.

Tambah beliau, bantuan yang diterima oleh pihak yang memerlukan sudah pasti akan menceriakan mereka, sekali gus sifat perikemanusiaan terhadap sesama makhluk akan wujud dalam diri orang yang menderma

Program berkenaan merupakan satu usaha bermatlamatkan pembangunan lestari dalam membasmi kemiskinan melalui kaunter Bait Al- Mahabbah (rumah kasih) yang telah bermula sejak 11 Februari lalu.

Kaunter itu berfungsi untuk menyampaikan bantuan (al-musa’adah) barangan keperluan harian kepada golongan asnaf yang tinggal di sekitar Putrajaya.

Program berkenaan bertujuan meringankan beban sara hidup golongan sasar serta mendekatkan masyarakat dengan masjid sebagai pusat rohani dan pembangunan komuniti.

Program cetusan idea daripada Zulkifli itu turut mendapat kerjasama daripada pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) yang merupakan rakan strategik dan sumbangan berupa barangan keperluan harian disumbangkan oleh syarikat itu.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, langkah yang dilakukan oleh pihaknya merupakan salah satu daripada tanggungjawab korporat sosial (CSR) dalam membantu golongan sasar yang memerlukan.

Ujarnya, ia bukanlah pertama kali diadakan sebaliknya, perkara sama turut dibuat di beberapa masjid lain di sekitar ibu negara.

“Kita beri barangan ini kepada golongan yang memerlukan seperti warga emas, gelandangan, orang kelainan upaya dan sesiapa sahaja yang memerlukan.

“Kita juga mahu menolong golongan seperti asnaf agar mereka dapat menikmati kehidupan yang sempurna sebagaimana dirasai oleh orang lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast