Malcolm X. foto Agensi

SIAPA tidak kenal dengan sosok Malcolm X, seorang aktivis pergerakan dan tokoh
Muslim Amerika yang sangat harum namanya bersama kisah perjuangan yang
dilaluinya. Tepatnya pada 21 Februari 1965, beliau telah dibunuh di kota New York ketika
berusia 39 tahun. Tragedi itu berlaku ketika beliau berpidato di hadapan anggota
Organisasi Persatuan Afro-Amerika dalam Perhimpunan Persidangan di Dewan
Audubon Harlem, Manhattan.

Dalam kejadian itu, tiga orang lelaki telah naik ke pentas dan menembaknya dari
jarak dekat sebanyak 15 das tembakan. Jenazah Malcolm X telah dimakamkan di
tanah perkuburan Ferncliff, Hartsdale, New York.

Setelah 56 tahun peristiwa itu, baru-baru ini keluarga Malcolm X meminta
pembukaan semula kes siasatan terhadap pembunuhannya berdasarkan bukti baru.
Sebagaimana dilaporkan BBC, anak-anak perempuan pemimpin gerakan hak
kemanusiaan itu berkata: “Kami menuntut agar siasatan pembunuhannya dibuka semula berdasarkan bukti baru yang dikemukakan.”

Permohonan itu dibuat berdasarkan surat keterangan daripada seorang lelaki yang
merupakan polis ketika pembunuhan 1965 yang mendakwa bahawa Jabatan Polis
New York (NYPD) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bersekongkol dalam
operasi tersebut. “Raymond Wood menulis bahawa tanggungjawabnya adalah untuk menahan pasukan keselamatan Malcolm X beberapa hari sebelum beliau ditembak di
Manhattan,” kata keluarganya.

Tiga lelaki didapati bersalah

Ketiga-tiga pembunuh tokoh itu telah dinyatakan bersalah pada Mac 1966 dan
dijatuhi hukuman penjara. Seorang daripadanya telah meninggal dunia, sementara
dua yang lain telah dibebaskan.

Pada ketika beliau ditembak mati, Malcolm X dilihat sebagai pejuang dalam gerakan
Islam Nation of Islam (NOI) tetapi kemudian meninggalkan gerakan itu. Kredibiliti
beliau semakin terserlah apabila berjaya menarik ahli baru menyertai gerakan
tersebut.

Hinggakan, beliau mendapat pujian kerana menjadi pemangkin kepada peningkatan
keahlian daripada 500 orang pada tahun 1952 menjadi hampir 30,000 pada sepuluh
tahun kemudiannya iaitu pada tahun 1963.

Realitinya, kontroversi yang menyelubungi Malcolm menjadikan dirinya seperti
magnet kepada pihak media dan seterunya, kerajaan pada waktu itu.
Islam di dalam penjara Pada tahun 1946 ketika usianya 21 tahun, Malcolm merasai kehidupan pertamanya di penjara setelah dirinya disabit dengan tuduhan terlibat dalam rompakan.

Ketika di penjara, Malcolm kemudian berkenalan dengan Elijah Muhammad, tokoh
Nation Of Islam (NOI) yang anggotanya dikenali sebagai ‘Muslim Kulit Hitam’.

Organisasi ini menyokong nasionalisme kulit hitam dan mengecam pemisahan
warganegara antara kaum. Perkenalannya dengan Elijah Muhammad mempunyai pengaruh besar terhadap Malcolm yang kemudiannya memeluk Islam dan menukar nama belakangnya menjadi X.

Kenapa begitu?

Beliau menggelar nama keluarganya sebagai Little yang menunjukkan bahawa
dirinya adalah hamba bangsa kulit putih dan bahawa nenek moyang ayahnya
terpaksa menggunakan nama itu. Malcolm mengatakan huruf X di belakang namanya melambangkan identiti sebagai bangsa Afrika yang hilang secara paksa. Setelah menjalani hukuman enam tahun, Malcolm dibebaskan dan menjadi ahli setia NOI di New York.

Walaupun begitu, beliau sangat berbeza dengan tokoh hak sivil kulit hitam yang lain
seperti Martin Luther King Jr. Malcolm mengalakkan orang kulit hitam untuk
mempertahankan diri dan membebaskan seluruh negara Afrika-Amerika dengan apa
jua keadaan.

Susuk yang disegani

Dengan kemahiran berpidato yang dimilikinya, Malcolm X sangat disegani dan
dikagumi oleh masyarakat Afrika-Amerika bukan sahaja di New York tetapi di
seluruh Amerika Syarikat. Hinggakan pada awal 1960-an, beliau mula
mengembangkan falsafah yang lebih lantang daripada yang digunakan oleh Elijah
Muhammad, mentornya ketika bersama di NOI.

Menurut Malcolm, Elijah dianggap tidak cukup untuk mendukung gerakan Afrika-
Amerika apalagi untuk hak-hak sivil. Pada akhir 1963, Malcolm menyuarakan
bahawa Presiden John F. Kennedy dibunuh kerana tindakan dan kata-katanya
sendiri.

Kenyataan ini membuatkan Elijah Muhammad menilai bahawa Malcolm terlalu kuat
dan lantang suaranya hingga membolehkannya mengeluarkan beliau daripada NOI
pada bila-bila masa. Lebih-lebih lagi sebagai pemimpin NOI, Elijah Muhammad telah
melarang pengikutnya untuk memberi komentar mengenai pembunuhan Kennedy.

Beberapa bulan kemudian, Malcolm secara rasmi meninggalkan organisasi itu dan
diikuti dengan langkahnya untuk menunaikan haji ke Mekah. Di Tanah Suci, Malcolm
kagum bagaimana umat Islam di seluruh dunia dapat bersatu tanpa dipengaruhi oleh
perkauman.

Kembali daripada menunaikan ibadah haji, beliau menukar namanya menjadi Malik
El-Shabazz seterusnya mengasaskan Pertubuhan Bersatu Afrika-Amerika pada
bulan Jun 1964. Organisasi ini memperjuangkan identiti bangsa Afrika-Amerika dan menegaskan bahawa perkauman, bangsa kulit putih bukanlah musuh terbesar
Afrika-Amerika.

Gerakan yang membawa ideologi baru ini segera mendapat banyak simpati dan
falsafahnya yang lebih menyerlah dan secara langsung mempengaruhi gerakan
untuk perjuangan hak-hak sivil. Falsafah yang dipromosikan oleh Malcolm X banyak
pengaruh terutamanya kepada para pemimpin Jawatankuasa Penyelarasan Pelajar
Anti Keganasan.

Rentetan pandangan rasis yang diajarkan oleh Elijah Muhammad membuatkan
Malcolm kemudian menyedari bahawa perkara tersebut sebagai sebuah ajaran yang
tidak Rahmatan Lil Alamin dan perkara tersebut jugalah yang membuatkan beliau
keluar daripada NOI dan mendirikan Organization of Afro-American Unity pada 28
Jun 1964.

Tuntutan siasatan

Pada tahun 2020, seorang peguam Manhattan County melancarkan tinjauan
terhadap sabitan tersebut, setelah bertemu dengan wakil Innocence Project, sebuah
kumpulan undang-undang yang memperjuangkan keadilan bagi individu yang
dikatakan telah disabitkan secara salah.

Apa yang dituntut dalam surat Wood?

Surat tersebut menyatakan bahawa Jabatan Polis New York dan FBI
menyembunyikan perincian pembunuhan 21 Februari 1965 di Dewan Audubon
Harlem, Manhattan, menurut Wood dan peguamnya. Wood mendakwa, beliau ditugaskan untuk memastikan Malcolm X tidak memiliki sistem keselamatan, kerana dia dijadualkan berpidato di hadapan khalayak.

Pada sidang media yang diadakan, ahli keluarga Wood tidak memberikan perincian
mengenai bagaimana dan bila Raymond meninggal dunia. Tetapi mereka mengatakan dirinya tidak ingin menghebahkan pesanan itu setelah kematiannya kerana takut akan kesan daripada pihak berkuasa.

"Segala bukti yang memberikan gambaran yang lebih mendalam mengenai
kebenaran di sebalik tragedi mengerikan ini mesti disiasat secara menyeluruh," kata
Elisa Shabazz, salah seorang anak perempuan Malcolm X.

Respons NYPD dan FBI?

"Beberapa bulan yang lalu, Peguam Negara Daerah Manhattan telah mula meneliti
semula kes siasatan dan pendakwaan yang menghasilkan dua sabitan atas
pembunuhan Malcolm X," kata Jabatan Polis New York (NYPD) dalam satu
kenyataan.

Sebagaimana kenyataan itu, NYPD telah memberikan semua rekod yang ada
berkaitan dengan kes ini kepada Peguam Negara. Jabatan itu tetap komited untuk
membantu penelitian semula tersebut dengan cara apa pun. Namun, FBI masih
belum mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini.

Sangat ironi, Malcom X yang memperjuangkan nilai dan hak orang Afrika-Amerika
dibunuh oleh kaumnya sendiri. Tidak ada yang tahu siapa punya angkara atau
apakah sebab di sebalik kematiannya itu.

Walaupun begitu, impian Malcolm X untuk menyebarkan visi anti-rasisme dan nilai-
nilai kemanusiaan yang diajarkan Islam telah tersebar dengan jayanya di Amerika
dan dunia.

Atriza Umar, Jabatan Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan IKRAM Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Semestinya dibelakangi puak2 yahudi zionists…
    Mereka ini hidup beragenda dan sudah tentu pembunuhan Malcolm X adalah untuk menghalang penyebaran agama Allah swt..

Comments are closed.