Vaksin Sinovac dibawa masuk ke dalam lori syarikat Pharmaniaga untuk dibawa ke kilang yang terletak di Puchong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor. Foto Ihsan JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2021.

SEPANG – Kumpulan pertama vaksin Sinovac dari China selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tepat 8.47 pagi tadi menerusi pesawat MH19.

Vaksin yang diterima secara pukal dengan sukatan 200 liter itu dihasilkan syarikat farmaseutikal di Beijing, Sinovac Biotech yang kemudian diuruskan oleh syarikat Malaysia Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd melalui perjanjian yang dimeterai di peringkat global.

Antara yang hadir menyaksikan ketibaan vaksin kedua itu pagi tadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK); Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba;  Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; serta Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Program penerimaan itu turut disertai Duta Besar negara China ke Malaysia Ouyang Yujing yang kemudian menyatakan penghargaan tinggi kerana diberi tugas membawa pulang aset sangat berharga itu untuk rakyat Malaysia secara teratur dan selamat.

Pesawat Airbus 330-300 dengan hiasan Jalur Gemilang itu membawa ‘envirotainer’ mengandungi vaksin COVID-19 dalam bentuk cecair sebanyak 200 liter.

Vaksin Sinovac itu kemudian telah diangkut menggunakan pesawat Passenger-to-Cargo (PC2) iaitu pesawat penumpang digunakan untuk perkhidmatan kargo.

Vaksin berkenaan akan ditempatkan dengan kawalan ketat di syarikat Pharmaniaga LifeScience di Puchong yang kemudian akan dibotolkan kepada 300,000 dos untuk keperluan vaksinasi rakyat.

Vaksin berkenaan dibawa dalam bekas khas dengan suhu kandungan antara 2 hingga 8 darjah selsius.-MalaysiaGazette