MJMM dan beberapa NGO lain sekepas membuat laporan polis berhubung isu buku teks sejarah tingkatan 4 yang telah dimanipulasikan fakta di IPD Sentul. Foto FIKRI YAZID, 27 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan menggesa polis menyiasat dakwaan manipulasi terhadap buku-buku sejarah Tingkatan 4 yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada masa ini.

NGO tersebut diketuai Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Menurut Presidennya, Abdul Rani Kulup Abdullah, buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi subjek Sejarah itu telah terkeluar daripada sejarah sebenar sebelum kemerdekaan.

Beliau mendakwa, setelah diamati isi kandungan buku berkenaan tidak memasukkan perjuangan gigih orang Melayu daripada awal serta mempromosikan perjuangan komunis.

Malah katanya, buku tersebut turut tidak menonjolkan perjuangan golongan agamawan serta terdapat fakta yang telah diselewengkan seperti kebangkitan nasionalisme, sejarah politik tanah Melayu, era peralihan kuasa British di negara ini, ancaman komunis dan perisytiharan darurat dan banyak lagi.

“Kenapa Menteri Pendidikan Malaysia membenarkan buku itu diterbitkan untuk generasi-generasi muda. Kenapa hendak memesongkan pemikiran mereka.

“Bila pula masanya komunis ini memperjuangkan tanah Melayu. Mereka bukan pejuang seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, termasuk askar-askar Melayu dan Angkatan Tentera Malaysia, PDRM dan pahlawan-pahlawan Melayu. Tapi mereka semua tidak diketengahkan dalam buku itu…sebaliknya yang diangkat ideologi komunis,” dakwanya.

Abdul Rani berkata, apa yang berlaku telah menyebabkan banyak pihak terutama ibu bapa tertanya-tanya tentang logiknya buku seperti itu diterbitkan untuk pelajar sekolah.

“Kami gesa pihak Kementerian Pendidikan haramkan buku yang mempromosikan pengganas komunis ini.

“Negara kita sudah aman, sudah merdeka tak wujud lagi dah fahaman komunis. Jadi siasatlah hingga ke akar umbi,” ujarnya.

Presiden Maratabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Abdul Rani Kulup Adullah bercakap kepada media ketika MJMM dan beberapa NGO membuat laporan polis berhubung isu buku teks sejarah tingkatan 4 yang telah dimanipulasikan fakta di IPD Sentul. Foto FIKRI YAZID 27 FEBRUARI 2021.

Dalam pada itu Abdul Rani memberitahu, terdapat satu lagi laporan dibuat berhubung video seorang lelaki warga Bangladesh yang bertengkar dengan seorang lelaki tempatan dari Sabah pada 22 Februari lalu.

Katanya, rakaman pertengkaran yang dikatakan berlaku di Petaling Jaya itu telah mengundang kemarahan rakyat Sabah apabila warga Bangladesh terbabit cuba melakukan provokasi.

“Kalau nak berniaga, berniagalah, jangan buat provokasi kepada rakyat Malaysia. Jangan nak jadi jaguh dekat negara orang.

“Kenalah bersyukur datang ke Malaysia boleh berniaga, buka kedai dan kawin lagi dengan orang Malaysia. Jangan cuba nak buat hal di sini,” tegasnya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa terutama Jabatan Imigresen Malaysia bertindak tegas terhadap warga Bangladesh terbabit kerana perbuatannya itu tidak boleh dimaafkan.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Belia Sabah Lembah Klang, Afendi Mumin berkata, tindakan warga Bangladesh terbabit yang cuba mempertikaikan kewarganegaraan rakyat Sabah merupakan satu perkara yang kontra.

Ujarnya, lelaki warga asing itu seolah-olah mahu menjatuhkan maruah rakyat Sabah apabila mempersoalkan dari mana rakyat Sabah mendapatkan kad pengenalan bagi membolehkan mereka adalah warganegara Malaysia.

“Ingat orang Sabah ini orang Filipina ke?

“Orang Sabah ini orang Malaysia bukan Filipina. Jangan cuba buat provokasi,” tegasnya.

Justeru kata beliau, satu himpunan akan diadakan oleh orang-orang Sabah di Subang Jaya pada pukul 10 pagi esok sebagai menyatakan kemarahan di atas tindakan provokasi yang dilakukan oleh lelaki warga Bangladesh terbabit.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan agar himpunan itu tidak diadakan kerana negara mempunyai undang-undang dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.