Petugas Sel Care mengambil sempel ujian saringan Covid-19 penduduk sekitar Petaling Jaya di Dewan Serbaguna (MBPJ) Petaling Jaya, Selangor. Foto FIKRI YAZID 28 FEBRUARI 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak sebanyak 2,437 kes baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga jam 12 tengahari, menjadikan jumlah kes positif virus itu meningkat kepada 300,752 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara direkodkan manakala bakinya adalah penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 914 kes atau 37.5 peratus.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 823 kes atau 90.0 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Menurutnya, ini diikuti oleh Johor sebanyak 340 kes atau 14.0 peratus dan Perak sebanyak 337 kes atau 13.8 peratus.

“Sebanyak 85 kes atau 3.5 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Tapah sebanyak 77 kes, Kluster Tembok Taiping (3 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (2 kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (2 kes), dan Kluster Penjara Jalan Harapan hanya satu satu kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes di Selangor, dua di Sarawak, serta masing-masing satu kes di Melaka, Kelantan, Perak dan Johor.

“Sebanyak lapan kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham menambah, sehingga kini, terdapat 26,205 kes aktif dan sebanyak 93 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“KKM ingin memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh adalah sebanyak 3,251 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 273,417 kes atau 90.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette