Suspek diberkas polis di SJR Nibong tebal ketika cuba rentas negeri tanpa kebenaran yang sah.

NIBONG TEBAL – Seorang lelaki ditahan selepas bertindak memaki polis menggunakan perkataan kesat ketika cuba merentas negeri tanpa kebenaran yang sah.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 18 Februari lalu ketika suspek berusia 28 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya yang dijalakan sepasukan polis dari Balai Polis Nibong Tebal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, suspek menaiki pacuan empat roda jenis Mitsubishi Lancer itu dari arah Butterworth menuju ke Bagan Serai, Perak.

Chong Chern.

“Hasil pemeriksaan jam 5 petang mendapati dia gagal menunjukkan kebenaran merentas negeri dan apabila diarahkan menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandu, lelaki tersebut bertindak membalingnya ke arah anggota polis yang sedang bertugas.

“Susulan itu, suspek bertindak kasar termasuk mengeluarkan beberapa perkataan kasar terhadap pihak polis yang bertugas menyebabkan dia ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki tersebut mempunyai rekod rawatan mental dan masih menerima rawatan di Hospital Taiping.

“Kes di siasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” ujar beliau.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 24 saat menunjukkan seorang lelaki memaki polis menggunakan perkataan kesat walaupun anggota berkenaan tegur akan tindakannya menyalahi undang-undang.- MalaysiaGazette