Kurniawan Dwi Yulianto.

KUALA LUMPUR – Memasuki musim kedua beraksi di pentas Liga Super, Sabah FC terus memperkuatkan skuad mereka untuk memperbaiki kedudukan dengan lebih cemerlang pada musim 2021 selepas menamatkan saingan Liga Super 2020 di tangga ke-10.

Skuad ini bermula dengan perubahan ketua jurulatih apabila Lucas Kalang Laeng dilantik untuk membimbing skuad Tambadau musim ini menggantikan Kurniawan Dwi Yulianto, sebelum berlakunya perubahan pengurusan dan seterusnya melantik kembali Kurniawan sebagai pengendali Sabah FC.

Dilabel sebagai jurulatih berkualiti dan berjaya untuk memastikan pasukan terus kekal dalam saingan Liga Super musim ini, Kurniawan semestinya ingin terus membawa skuad ini ke tahap terbaik selepas mengakui berdepan pelbagai cabaran musim lalu termasuklah terpaksa menarik diri daripada TM Piala Malaysia sebelum saingan itu dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Apa yang pasti, pasukan ini tidak kurang hebatnya mengikat pemain-pemain berpengalaman dan berpotensi besar seperti kemasukan bekas penyerang pasukan Sarawak dan Pulau Pinang, Bobby Gonzales yang kembali menyarung jersi Sabah serta bekas pemain skuad Bawah-23 Tahun negara, N. Thanabalan.

Terbaharu, turut menjadi perhatian apabila juara Liga Premier 2019 ini mengikat bekas pemain kebangsaan yang berpengalaman, Amri Yahyah untuk memperkuatkan lagi bahagian serangan musim ini.

Kelibat Amri tidak asing lagi dalam arena bola sepak selepas mencipta nama selama 12 tahun bersama Selangor bermula 2001 sehingga 2013 sebelum terus melebarkan sayap ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka dan musim lalu bersama Sarawak United FC.

Menurut Kurniawan, kehadiran Amri sememangnya dijangka menarik perhatian dan mengharapkan pemain berusia 40 tahun ini dapat membuktikan dirinya masih mempunyai aura untuk menghasilkan serangan berbisa meskipun hadir sebagai pemain paling veteran dalam pasukan.

“Jujur, ramai yang mengatakan kenapa saya memilih pemain lebih veteran seperti Amri dalam pasukan, dan untuk saya, apa yang penting bukan usia, tetapi kemampuan dia di atas padang selaku pemain berpengalaman.

“Dia juga merupakan pemain yang boleh melakukan kawalan baik di bahagian tengah dan bagaimana dia memperlihatkan tahap keyakinan dirinya selaku pemain kepada pemain-pemain tempatan lain yang lebih muda darinya.

“Sekarang kami sudah beberapa hari menjalani latihan dan saya dapat lihat bagaimana pemain-pemain ini cukup memahami apa yang saya perlukan dan mampu untuk menjadi seorang pemain lebih profesional di atas padang”, jelasnya kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di sini.

Bagi skuad import pula, hanya seorang sahaja dikekalkan iaitu pemain pertahanan dari Korea Selatan, Park Tae-su dan empat kuota telah diisi oleh Levy Madinda (Giresunspor, Turkey), Sam Johnson (Real Salt Lake, Amerika Syarikat), Saddil Ramdani (Bhayangkara FC, Indonesia) dan Risto Mitrevski (Alashkert FC, Armenia).

Sabah FC akan memulakan aksi Liga Super 2021 dengan berkunjung ke Stadium Hang Jebat bagi berdepan pasukan Melaka United FC pada 6 Mac depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast