Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Perikatan Nasional (PN) cuma mengukuhkan kedudukan dengan membawa ahli Parlimen pembangkang keluar parti sebelum Parlimen bersidang.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata demikian kerana menyifatkan PN telah hilang sokongan majoriti.

“Kalau benar cinta kepada rakyat dan mahu rakyat bangkit bersama Parlimen supaya bersidang dan kerajaan PN undur kerana hilang majoriti.

“Sekarang ini PN hilang majoriti, maka bergelut mereka, beli, upah, ugut sedaya upaya mereka untuk mendapat dokongan sebelum boleh difikirkan untuk Parlimen bersidang.

“Dan walaupun darurat, gantung Parlimen yang mereka bergegas cuba memujuk, mengugut dan menekan supaya wakil rakyat lompat,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Facebooknya hari ini.

Bagaimanapun Anwar yakin pembangkang akan tetap kukuh sekiranya sejumlah besar ahli Parlimen tetap setia dengan perjuangan kepada rakyat dan parti masing-masing.

“Percayalah sekiranya sejumlah besar seperti mana yang ada di Parlimen masih setia, masih menjaga rakyat menjaga pembangunan rakyat menyelesaikan masalah ekonomi, menjaga perpaduan rakyat saya percaya kita punya perubahan yang sebaiknya,” tambahnya.

Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan Proklamasi Darurat bukan langkah untuk terus kekal berkuasa seperti dakwaan sesetengah pihak.

Dalam pada itu, Anwar juga mendedahkan didatangi oleh pihak polis beberapa hari yang lepas berhubung suratnya kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung Proklamasi Darurat sebelum ini.

Surat yang telah dipersembahkan kepada baginda pada 19 Januari 2021 turut menggesa agar Parlimen diadakan meskipun dalam tempoh darurat.

“Saya sendiri beberapa hari lalu didatangi lagi oleh polis walaupun cara baik cara profesional saya ucap terima kasih kepadda PDRM kerana mahu mempersoal saya tentang warkah kepada Agong mengenai memohon ihsan dan kebijaksanaan Agong menimbang semula Darurat dan mengarah dan menintahkan sidang Parlimen diadakan.

“Saya tidak ada masalah saya beritahu kenapa Parlimen harus bersidang, sebab upah atau gaji tidak naik, pengangguran bertambah, pelaburan tidak ada dan menteri-menteri sibuk menjaga kedudukan mereka,” ujarnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua ahli Parlimen PKR tinggalkan parti, sokong kerajaan Perikatan Nasional

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast