IPOH – Seramai 31 pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam sindiket judi online dan Macau Scam kini dalam proses menunggu hukuman daripada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
Mereka dikatakan terlibat dalam kegiatan jenayah yang didalangi Addy Kanna dan Alvin Goh.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kertas siasatan membabitkan kes itu sudah diserahkan kepada SPP sebaik Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) selesai menjalankan siasatan.
Jelas beliau, kesemua pegawai dan anggota yang telah dikenal pasti itu kini dalam proses dijatuhi hukuman.
“Hukuman terhadap mereka akan dilakukan SPP yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri (KDN) ini kerana kesalahan mereka bukan calang-calang untuk saya selaku Ketua Polis Negara mengenakan tindakan.
“Biarlah SPP mengadili mereka dengan sebaik-baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli Siri 1/2020 di Lapang Sasar Utama, Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din; Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Menurut Abdul Hamid, kesemua pegawai dan anggota itu berdepan tindakan buang kerja dan turun pangkat jika disabitkan bersalah.
“Mereka berdepan banyak hukuman tetapi hukuman utama adalah dibuang kerja atau diturunkan pangkat dan semua itu terletak pada kuasa SPP,” ujar Abdul Hamid.
Pada 15 Disember lalu, media tempatan melaporkan Deputi Komisioner antara 29 pegawai dan anggota polis sedang disiasat dipercayai bersekongkol dengan sindiket didalangi Addy Kanna yang terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian.
Ia turut melibatkan seorang pegawai berpangkat inspektor yang dipercayai memiliki wang simpanan dalam akaun berjumlah RM1 juta. – MalaysiaGazette