Tertuduh yang dikenali Vijay Emergency dibawa anggota polis bagi menghadapi pertuduhan membunuh dan membakar seorang jurutera tapak pada 28 Oktober lalu di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor pada 10 November 2020. Foto SYAFIQ AMBAK.

KUALA LUMPUR – Seorang artis India tempatan, Vijay Emergency dihadapkan semula di Mahkamah Majistret Sepang dekat sini hari ini bagi sebutan semula kesnya yang didakwa membunuh rakannya sendiri pada 28 Oktober tahun lepas.

Mahkamah hari ini telah menetapkan 5 April depan sebagai tarikh untuk proses memindahkan kes Vijay atau nama sebenarnya Vijayan Palaniyappan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Majistret Ayuni Nur Izzaty  Sulaiman membuat keputusan itu hari ini.

Peguambelanya, Datuk Sheelan Arjunan memberitahu Timbalan Pendakwaraya, Nasharina Nazlan sebelum itu memberitahu mahkamah segala dokumen berkaitan kes telah diperoleh bagi meneruskan proses pemindahan kes untuk dirujuk ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Pendakwaraya memberitahu segala dokumen yang diperlukan dalam kes berkenaan iaitu  laporan bedah siasat, laporan kimia, laporan DNA dan juga forensik segalanya telah diterima pihaknya.

“Pihaknya meminta mahkamah satu tarikh baharu untuk mendapatkan kebenaran Peguam Negara bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Shah Alam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Majistret  Ayuni Nur Izzaty menetapkan 5 April sebagai tarikh untuk penentuan hari dan masa untuk memindahkan kes.

Justeru kata Sheelan, majistret juga telah membenarkan permohonannya untuk merujuk tertuduh  ke hospital untuk rawatan.

“Mahkamah sudah memberi kebenaran untuk tertuduh diberikan rawatan perubatan di hospital oleh jabatan penjara secepat mungkin,” ujarnya.

Pada 10 November lalu, Vijay didakwa di mahkamah yang sama atas dakwaan membunuh dan membakar seorang jurutera tapak kenalan rapatnya selama 25 tahun dalam kejadian di Sepang pada 28 Oktober lalu.

Tertuduh yang juga merupakan seorang ahli perniagaan berusia 42 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dakwaan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Vijay yang juga Presiden Persatuan Artis India Malaysia selain Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda MIC Kebangsaan didakwa membunuh Seri Ganis Kanapathy Pillay Krishnan, 42, pukul 3.30 pagi di sebuah kawasan semak di Kota Warisan, berhampiran stesen ERL Ekspress.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes bunuh, bakar jurutera: Mahkamah tetapkan 2 Mac serah dokumen