Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini setahun memimpin Kementerian Pertahanan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) komited dalam kesiapsiagaan aset dan anggota sebagai keutamaan dalam memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Menteri Kanannya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,  beberapa perancangan perolehan aset telah dibuat untuk memperkasakan kawalan keselamatan terutama di kawasan sempadan.

Pada tahun lalu, menurutnya, ATM telah memperoleh sebanyak 11 unit Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan satu unit Bot Pelbagai Guna atau multipurpose boat untuk kegunaan kawalan sempadan di kawasan perairan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap mengenai pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur baru-baru ini . Foto AFFAN FAUZI.

“Pada awal tahun ini, ATM telah menerima sebanyak 27 unit All Terrain Vehicle (ATV) bertujuan untuk membantu meningkatkan aspek mobiliti dalam penugasan Op Benteng di sempadan negara.

“Pada tahun ini juga kita dijangka akan menerima aset-aset seperti enam unit Fast Interceptor Craft (FIC) dan 63 unit trak satu tan GS Cargo,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sekumpulan media sempena Wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan di sini baru-baru ini.

Pencapaian atau statistik Op Benteng sejak penubuhannya pada 1 Mei 2020 hingga 26 Februari 2021.

Ismail Sabri menambah, dalam mempertingkatkan lagi sistem pertahanan negara, khususnya melalui aset udara, penggunaan teknologi moden antara perkara utama yang telah dan sedang dalam tindakan kementeriannya.

GUNA DRON

Tegas beliau, ini dibuktikan oleh ATM yang  telah memperoleh dan menggunakan aset dron sejak tahun 2008 bermula dengan Aturgerak di Operasi Pasir (OP PASIR) di Sabah.

Menurutnya, ATM juga telah menggunakan dron untuk pemantauan semasa operasi-operasi teras termasuk Operasi Daulat, Operasi Penawar dan Operasi Benteng terutama dalam memantau sempadan negara termasuk operasi-operasi lain yang dilaksanakan oleh ATM di seluruh negara.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang (kanan) bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (dua kanan) hadir bagi menyaksikan dron digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia susulan Perintah Kawalan Pergerakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur pada tahun lepas. Foto AFIQ RAZALI.

“Penggunaan dron ini juga turut digunakan semasa Operasi Penawar dalam membantu Situational Awareness, Pattern Analysis, Surveillance di samping penyebaran maklumat dan pesanan melalui voice recorder atau loud speaker operation yang diterbangkan bersama dron di tempat-tempat tumpuan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Sehingga kini, ATM memiliki lebih 55 buah dron yang dioperasikan di seluruh negara.

“Pada tahun ini, kementerian atau MINDEF telah membuat penambahan perolehan Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) selaras dengan perkembangan semasa teknologi dron.

“Tender telah pun dikeluarkan dan pada masa ini sedang dalam proses penilaian oleh pihak Jawatankuasa. Perolehan ini dijangka diputuskan dalam waktu terdekat oleh Lembaga Perolehan Tender MINDEF,” katanya lagi.

Kementerian Pertahanan komited menjaga kebajikan anggotanya.

KESELAMATAN SIBER

Sementara itu, bagi mengatasi ancaman siber, Ismail Sabri memberitahu, kementerian melalui ATM dan Bahagian Pertahanan Siber dan Elektromagnetik telah memulakan usaha untuk memperkuat domain siber dan elektromagnetik.

“Kami juga bekerjasama dengan negara lain termasuk menyelaraskan usaha untuk memperkuat keselamatan siber di rantau ini dan juga dengan negara lain seperti Amerika Syarikat dan China.

“Daripada segi domestik, kami turut bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Secara jujur, kita memerlukan dana yang lebih besar untuk meningkatkan pertahanan siber kita,” katanya.

KEBAJIKAN

Mengenal soal kebajikan, Ismail Sabri berkata, anggota tentera masih memerlukan 35,000 unit rumah.

“Di bawah Belanjawan 2021, kerajaan meluluskan peruntukan RM500 juta untuk 1,000 unit di bawah inisiatif Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan sumbangan makanan kepada anggota tentera ketika hadir melawat ke sekatan jalan raya (SJR) Sentul dan Tol Gombak serta penyerahan sumbangan makanan di sekatan jalan raya (SJR) Sentul, Kuala Lumpur pada 1 Februari tahun lepas. Foto MOHD ADZLAN.

“Namun, kementerian tidak boleh hanya bergantung pada peruntukan kerajaan dan perlu merancan usaha lain untuk membangun lebih banyak unit perumahan termasuk melalui kerjasama awam swasta seperti inisiatif pembiayaan swasta dan land swap,” katanya.

Kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia tidak dilupakan.

Tambah Ismail Sabri, antara projek yang telah dimulakan tahun lalu ialah 3,500 unit di Sungai Besi yang berharga antara RM150,000 hingga RM250,000 seunit di bawah Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), 223 unit di Kem Semenggo di Sarawak dan meningkatkan unit yang ada daripada dua bilik hingga tiga bilik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memeriksa perbarisan kawalan kehormat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada hari pertama memulakan tugas di Kementerian Pertahan (MinDef), Kuala Lumpur pada 12 Mac 2020.Foto HAZROL ZAINAL.

“Kami juga merancang satu lagi projek tahun ini di Setapak yang terdiri daripada 7,374 unit perumahan yang berharga antara RM150,000 hingga RM400,000 seunit di bawah program sama,” katanya.

PENDIDIKAN

Daripada aspek pendidikan, sebanyak 30 peratus kuota ditetapkan untuk anak-anak warga kementerian dan kakitangan ATM untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara sementara untuk Maktab Tentera Diraja (RMC) adalah 20 peratus kuota.

“Untuk Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, kamijuga  telah menetapkan kuota 10 peratus untuk pelajar dari RMC.

“Kami juga telah memelihara dan menaik taraf 38 sekolah yang terletak di kem ATM sementara usaha kami untuk menubuhkan pusat tuisyen di setiap kem,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast