Mayat mangsa wanita berusia 38 tahun yang ditemui di ladang kelapa sawit di Kota Tinggi hilang sejak 1 Mac lalu disyaki dibunuh suaminya.Photo Kredit IPK Johor

KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan seorang wanita sejak Isnin lalu akhirnya terungkai apabila mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di dalam tong air berwarna biru.

Lebih menyayat hati, mangsa disyaki telah dibunuh oleh suaminya sendiri akibat  cemburu.

Mayat mangsa ditemui ditanam di sebuah ladang kelapa sawit dekat Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis telah menerima laporan polis mengenai kehilangan mangsa, seorang  kerani di syarikat swasta berusia 38 tahun  pada 1 Mac lalu.

Mangsa dikatakan keluar dari rumah pukul 2 pagi selepas berlaku perselisihan faham dengan suaminya.

”Susulan siasatan yang dijalankan, polis menahan dua lelaki, masing-masing berusia  43 dan 32 tahun yang merupakan suami mangsa dana rakan kepada suami mangsa,” katanya dalam sidang media khas bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor, Datuk Md. Yusof Ahmad yang diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen Johor hari ini.

Ayob berkata, suami mangsa,  seorang pemandu jengkaut berusia 43 tahun ditahan kerana disyaki  membunuh isterinya dengan menembak mangsa kira-kira pada pukul 2.30 pagi ketika mangsa sedang  tidur di bilik di rumah mereka.

“Kes dipercayai disebabkan cemburu suspek ke atas isterinya berdasarkan penemuan  surat tuntutan fasakh di kediaman mereka,” ujarnya.

 

Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan senjata yang dipercayai digunakan oleh suami mangsa pada sidang media hari ini.

.

Tambah Ayob, suspek dalam siasatan awal mengaku membunuh isterinya ketika sedang tidur dengan menggunakan senapang angin dan kemudian memasukkan mayat ke dalam tong air berwarna biru bersama kain cadar sebelum ditanam dalam ladang

Ujar beliau, berpandukan arah oleh suspek pada pukul 10.30 pagi semalam mayat berjaya ditemui di ladang berkenaan.

Polis turut merampas selaras senapang angin, senapang patah, 54 butir peluru penabur, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero serta sebuah jengkaut yang digunakan suspek.

Rakan suspek turut direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 10 Mac ini untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Kedua-dua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana selain memiliki selaras senapang angin, suspek turut mempunyai satu lagi senapang patah.

Pasangan itu sebenarnya sudah berkahwin lapan tahun dan mempunyai dua anak berumur tiga dan empat tahun.

Kedua-dua anaknya kini diletakkan dibawah jagaan keluarga mangsa.

Ayob Khan Mydin Pitchay memberi taklimat kes pembunuhan seorang wanita di Kota Tinggi, Johor pada sidang media hari ini.

Ayob berkata, mayat mangsa kini dalam proses bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah di (HSA).

Suami mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau di Taman Saujana, Kota Tinggi.

“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes mencederakan orang dan senjata api,” katanya lagi.

Pada Rabu lalu, tular di aplikasi WhatsApp yang mendakwa seorang wanita yang dilaporkan hilang pada 1 Mac 2021 di Kota Tinggi telah meninggal dunia disyaki dibunuh suaminya akibat cemburu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast