KUALA LUMPUR – Pembentukan kerajaan campuran dalam kebanyakan sistem demokrasi berparlimen apabila tiada satu parti yang dapat majoriti jelas adalah biasa.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ‘perpisahan’ kerajaan campuran yang terbentuk itu selepas tamat tempoh Parlimen juga adalah biasa.
”Selepas itu, bertanding lagi sesama sendiri pun biasa,” katanya.
Malah, selepas habis pilihan raya congak balik dan tubuh kerajaan campuran baru pun biasa, ujarnya.
Tambah beliau, oleh kerana semuanya adalah satu kebiasaan, tidak wajar beremosi dan meratap pilu apabila hubungan dalam kerajaan berakhir apabila Parlimen dibubarkan.
Katanya, yang kurang biasa apabila jual-beli kerusi untuk kekal kuasa sahaja.
Kenyataan Shabery ini dipercayai ada kaitan dengan surat Presiden UMNO yang menyatakan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Surat itu telah dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu pada 26 Februari lalu. – MalaysiaGazette