KUALA LUMPUR – Beregu wanita meningkat naik, Pearly Tan-M Thinaah, mencipta kejutan apabila menjadi satu-satunya wakil negara mara ke final kejohanan badminton Terbuka Switzerland hari ini.

Beregu wanita negara yang berada di ranking ke-30 itu, menyingkirkan ‘kakak senior’ mereka Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang juga pilihan kedua kejohanan 10-21, 21-14, 21-16 dalam perlawanan separuh akhir di St Jakobshalle, Basel.

Bagaimanapun, Pearly-Thinaah terpaksa bermandi peluh dalam 66 minit perlawanan yang menyaksikan pasangan muda negara itu tewas di set pertama, sebelum bangkit mengawal permainan hingga menang di set kedua dan ketiga.

Pasangan negara bakal berdepan gandingan adik-beradik dari Bulgaria Gabriela-Stefani Stoeva yang turut mengejutkan pilihan utama kejohanan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai dari Thailand 21-16, 21-14.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zi Jia terkandas di separuh akhir selepas tewas 18-21, 10-21 kepada pemain Thailand Kunlavut Vitidsarn.

Nasib sama menimpa beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila dikejutkan oleh pasangan bukan pilihan dari Jerman Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 13-21, 21-13, 16-21 manakala perjuangan beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga tamat selepas kalah kepada gandingan Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue 19-21, 10-21. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast