Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong bercakap kepada media ketika sidang media atas talian bagi mengenang kehilangan MH370 di Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 7 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyatakan kesediaan memulakan sebarang perbincangan bagi meneruskan pencarian semula pesawat MH370 yang hilang secara misteri sejak 8 Mac 2014 lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya bersedia meneruskan kerjasama triparte dengan kerajaan Australia dan China untuk menjejaki lokasi kehilangan pesawat yang dinaiki 239 penumpang termasuk kru kabin pada tujuh tahun lalu.

“Saya luahkan rasa penuh sedih dengan apa yang menimpa mangsa dan waris penumpang MH370.

“Justeru kami terbuka untuk sebarang perbincangan bagi meneruskan pencarian ini dengan kerjasama kerajaan Australia dan juga kerajaan China.

“Para waris yang masih sedih dan mendoakan penumpang MH370 yang hilang bersama pesawat di Lautan Hindi akan terus dimaklumkan mengenai perkembangan baharu misi pencarian ini di masa hadapan,” katanya menerusi video rakaman khas sempena Ulang Tahun Ketujuh Kehilangan MH370 yang dikongsi dalam Persidangan memperingati kehilangan tersebut anjuran NGO bebas di Zoom Google hari ini.

Dalam mesej tersebut, Ka Siong menambah kehilangan pesawat itu sejak tahun 2014 lalu pasti tidak dapat dilupakan rakyat lebih-lebih ahli keluarga mangsa.

Katanya, walaupun sudah tujuh tahun insiden itu berlaku, ia masih segar dalam ingatan semua dengan persoalan apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat dan semua penumpangnya.

“Hari ini kita bersama-sama memperingati kehilangan bermisteripesawat bersama 239 penumpang termasuk kru kabin.

“Saya doakan untuk waris yang meratapi kehilangan ahli keluarganya dan kuat hadapi ujian ini dan kerajaan Malaysia bersama-sama keluarga mangsa menempuh ujian ini,” ujarnya.

Dalam misi pencariannya sebelum ini, jelas Ka Siong, kerajaan tidak pernah mengambil sikap mengira dalam mengeluarkan perbelanjaan wang untuk usaha kolektif kerjasama  dengan Malaysia, Australia dan China untuk mencari dan menjejaki pesawat yang hilang itu.

“Namun pada Januari 2017 ketiga-tiga negara mencapai kata putus menangguhkan pencarian dan penyelamatan (SAR) pesawat itu di selatan Lautan Hindi pada Januari 2017 lalu sehingga bukti sahih baharu kedudukan sebenar pesawat terhempas itu ditemui pasukan SAR.

“Pada 2018 lalu, jentera khas iaitu Ocean Infinity Autonomous Vehicle (AUV) memulakan pencarian pesawat MH370 di dasar laut di Selatan Lautan Hindi dan setelah pencarian itu meliputi 112,000 kilometer akhirnya AUV mengakhir pencarian itu, sehingga menemui bukti penemuan kawasan baharu kedudukan serpihan atau pesawat itu hilang.

“Saya luahkan rasa sedih dengan apa yang menimpa mangsa MH370 dan sentiasa terbuka dan sedia menerima perbincangan dan juga apa jua cadangan untuk memulakan semua pencarian berdasarkan bukti penemuan baharu lokasi kehilangannya,” ujar beliau.-Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast