Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah menyampaikan bantuan dan bakul makanan kepada komuniti di Terminal Sentral Kuantan hari ini.

KUANTAN – Nasib seramai 110 komuniti di Terminal Sentral Kuantan (TSK) di sini yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mendapat perhatian dan menjadi antara penerima bakul dan baucer sempena program IM Prihatin.

Mereka terdiri daripada pemandu bas, pemandu teksi dan pengusaha gerai makan serta serbaneka berpusat di TSK diraikan dalam majlis ringkas oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam ucapannya mengakui memahami perasaan semua pihak yang terkesan dengan penularan pandemik.

“Dalam keadaan kini, kita senasib dan keseberuntungan, kita cuba berkongsi apa yang boleh dikongsikan bersama,” katanya.

Saifuddin turut menasihatkan masyarakat supaya mendaftar program vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera bagi menanti giliran divaksin.

Sementara itu, penerima bantuan rata-ratanya bersyukur atas bantuan yang diterima dan menganggap Saifuddin dan pengurusan TSK memahami situasi yang dihadapi mereka.

Bagi pemilik premis tudung dikenali sebagai Ira yang memiliki dua kios, cabaran untuk membayar kos sewa sewaktu musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding sebelum ini.

“Untuk membayar sewa sangat susah pada musim ini dan sumbangan ini sedikit dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung,” katanya.

Menurut Ira, para peniaga juga berharap kadar sewa dikurangkan sehingga ekonomi benar-benar stabil bagi mengurangkan kos.

Terdahulu Saifuddin juga mengambil peluang beramah mesra bersama pemandu bas dan teksi secara pandu lalu serta membuat lawatan kios peniaga.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast