Pekerja menampal pelekat penjarakkan sosial selepas kerajaan membenarkan pembukaan semula operasi panggung wayang bermula esok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kedudukan tenaga buruh pulih sederhana pada Januari 2021 dengan peningkatan kecil kadar pengangguran kepada 4.9 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh terus berdepan dengan situasi yang mencabar berikutan peningkatan bilangan kes baharu Covid-19.

Berikutan itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan mulai 13 Januari 2021 di kebanyakan negeri dan telah dilanjutkan sehingga 04 Februari 2021.

Pada fasa ini, hanya lima sektor ekonomi penting dibenarkan beroperasi, manakala aktiviti perjalanan rentas negeri dan daerah dihadkan.

Keadaan ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap momentum pemulihan perniagaan dan seterusnya pasaran buruh.

Oleh itu, kedudukan tenaga buruh pada Januari 2021 pulih sederhana digambarkan melalui peningkatan bilangan tenaga buruh pada bulan tersebut.

Menurutnya, pertambahan dalam penduduk bekerja adalah lebih tinggi berbanding peningkatan bilangan yang menganggur; menunjukkan kenaikan permintaan buruh oleh perniagaan.

Tenaga buruh pada Januari naik 0.2 peratus dengan tambahan sebanyak 31,500 orang merekodkan 16.02 juta orang (Disember 2020: 15.99 juta orang).

Pada bulan tersebut, penyertaan tenaga buruh meningkat pada kadar 68.5 peratus (Disember 2020: 68.4%).

Kadar pengangguran pada Januari meningkat sedikit kepada 4.9 peratus (Disember 2020: 4.8 peratus) dengan tambahan sebanyak 9,700 orang penganggur kepada 782,500 orang (Disember 2020: 772,900 orang).

Peningkatan bilangan penganggur yang berterusan sebahagiannya adalah susulan daripada penelitian semula strategi perniagaan dalam industri berkaitan pelancongan yang terdiri daripada penginapan dan perkhidmatan makanan, pengangkutan penumpang, hiburan dan aktiviti rekreasi.

“Ketika PKP 2.0, hanya sektor ekonomi penting yang dibenarkan beroperasi iaitu sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan edaran, serta perladangan dan komoditi.

”Sementara itu, sebanyak 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat manakala bagi kakitangan kumpulan sokongan adalah tertakluk kepada keperluan.

“Keadaan ini menyebabkan bilangan penduduk bekerja terus meningkat dengan pertambahan sejumlah 21,900 orang kepada 15.24 juta orang pada Januari 2021,” katanya.

Justeru, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat kepada 65.2 peratus (Disember 2020: 65.1%).

Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat bulan ke bulan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong & runcit; kesihatan kemanusiaan & kerja sosial dan Pendidikan.

Sementara itu, guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan kekal dalam trend menurun menggambarkan industri ini terjejas secara berterusan disebabkan oleh pandemik.

Sektor Pembuatan mengekalkan pertumbuhan positif guna tenaga bagi bulan ketiga, manakala sektor Pembinaan juga mencatatkan peningkatan bagaimanapun, guna tenaga dalam sektor pertanian dan perlombongan & pengkuarian terus mencatatkan trend penurunan sejak tujuh bulan yang lalu.

Mohd Uzir berkata, kategori pekerja yang merangkumi 77.7 peratus daripada penduduk bekerja, meningkat 0.3 peratus (+40,800 ribu orang) kepada 11.85 juta orang (Disember 2020: 11.81 juta orang).

Sementara itu, kategori bekerja sendiri yang meliputi 15.7 peratus terus menurun bagi empat bulan berturut-turut kepada 2.39 juta orang pada Januari 2021 (Disember 2020: 2.40 juta orang).

Kumpulan ini sebahagian besarnya terdiri daripada mereka yang berpendapatan harian yang bekerja sebagai pengusaha perniagaan kecil seperti peruncit; penjaja; penjual di pasar dan gerai serta pekebun kecil.

Sementara itu, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu terus meningkat pada Januari 2021 kepada 158,900 orang berbanding bulan sebelumnya (Disember 2020: 146,200 orang), berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast