Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 di Pahang mensasarkan sejumlah 903 orang warga emas di rumah jagaan sebagai penerima vaksin yang dijadual bermula April ini.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keutamaan diberikaan kepada  warga emas yang tinggal di institusi jagaan atau pondok kerana mereka berisiko tinggi.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, terdapat sejumlah 22 buah pusat jagaan warga emas dengan 728 orang penghuni.

Menurut Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), terdapat lapan buah pondok yang beroperasi dengan kapasiti 175 penghuni warga emas.

“Pahang telah selesai proses vaksinasi 32,000 kakitangan barisan hadapan dan bagi fasa kedua, kita utamakan orang tua.

“Ini kerana warga emas merupakan antara golongan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi teruk atau menjadi penyebab kematian akibat jangkitan Covid-19.

“Di negeri Pahang, seramai 1.12 juta rakyat disasarkan untuk diberi vaksin Covid-19 bagi mencapai sasaran 70%. Ia akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kumpulan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Penyerahan Bantuan Awal Pelajar Tahun 1 kepada Jabatan Pendidikan Pahang di Wisma Sri Pahang.

Tambah beliau, pada fasa pertama, suntikan vaksin akan diberikan kepada petugas barisan hadapan dan fasa kedua melibatkan golongan warga emas, orang kurang upaya dan kumpulan berisiko yang menghidap penyakit kronik.

Manakala pada fasa ketiga, semua individu berumur 18 tahun dan ke atas.

Wan Rosdy berharap Program Imunisasi Covid-19 di Pahang dapat melindungi warga emas daripada penularan jangkitan virus tersebut. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast