KUALA LUMPUR – Tindakan tiga wakil rakyat dalam kalangan pembangkang yang mencabar pengisytiharan darurat melalui semakan kehakiman baru-baru ini ditolak Mahkamah Tinggi hari ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang berpandangan pengisytiharan darurat bawah Perkara 150(1) dan 150(2B) Perlembagaan Persekutuan  sebenarnya tidak boleh dicabar.

Malah kata beliau, Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan adalah sah dan berperlembagaan serta tidak boleh dicabar.

Beliau juga tidak memerintahkan sebarang kos selepas mendapati permohonan tersebut adalah remeh.

“Relif yang dimohon oleh pemohon adalah salah di sisi undang-undang dan tidak boleh dicabar,” katanya.

Sebelum ini, tiga pemimpin pembangkang, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah); Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (DAP) memohon memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi 26 Januari lepas.

Mereka memulakan semakan kehakiman terhadap peranan Perdana Menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Pemimpin pembangkang itu memfailkan permohonan untuk mencabar nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Antara yang dipohon untuk membolehkan kuasa-kuasa oleh Perdana Menteri dan Kabinet serta Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco yang dikatakan tidak dapat dipertanggungjawabkan kepada Parlimen atau DUN disemak.

Pada 12 Januari lepas Agong telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri  menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin perkenan darurat itu mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Majoriti MPs pribumi Melayu gagal menjamin majoriti ekonomi untuk majoriti pribumi Melayu pun tak darurat. DEB 30% ekonomi untuk majoriti pribumi Melayu dan 70% ekonomi untuk bukan pribumi adalah jelas dasar apartheid di parlimen. Ikut commonsense kaum majoriti sewajarnya berhak untuk majoriti ekonomi, kan?

Comments are closed.