Seorang murid sedang membuat pemeriksaan mata anjuran BSN menerusi program ‘Murid Spec-tacular'.

MINGGU Glaukoma Sedunia atau World Glaucoma Week merupakan sambutan tahunan yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari 7-13 Mac 2021. Sambutan dengan tema tahun ini “The world is bright, save your sight!” bertujuan memberi pendedahan kepada seluruh penduduk dunia tentang masalah yang jarang diambil tahu sehinggalah ianya terlalu lewat.

Ini kerana glaukoma tidak kelihatan di mata kasar, tidak menjejaskan imej kendiri dan biasanya tidak disedari atau pesakit itu sendiri, dengan sengaja atau tidak, melengahkan diagnosis dan rawatan. Di Malaysia, sambutan ini turut dijalankan namun publisiti bagi program kesedaran bagi glaukoma ini masih agak kurang meluas.

Glaukoma adalah suatu penyakit yang melibatkan kerosakan pada saraf optik dan
menyebabkan kemerosotan secara beransur-ansur. Ia sering dikaitkan dengan peningkatan tekanan di dalam mata pesakit. Biasanya glaukoma ini berlaku di kalangan ahli keluarga, dan kebanyakan pesakit tidak menghidap glaukoma ini sehinggalah usia semakin meningkat.

Peningkatan tekanan dalam bebola mata yang juga dikenali sebagai intraocular pressure
menyebabkan kerosakan kepada saraf optik yang membawa imej ke otak. Kerosakan yang semakin teruk boleh menyebabkan kehilangan penglihatan dan boleh mengakibatkan buta dalam jangka masa beberapa tahun sahaja.

Kebanyakan pesakit yang menghidap glaukoma tidak menunjukkan gejala atau merasa sakit. Keadaan ini mampu dikesan lebih awal dengan cara mengunjungi doktor mata secara berkala agar diagnosa dapat dibuat seterusnya rawatan boleh dimulakan lebih awal. Ini kerana penglihatan tidak dapat dikembalikan semula namun rawatan awal boleh mengurangkan kesan akibat kenaikan tekanan dalam mata tersebut.

Antara punca yang telah dikenalpasti mengakibatkan glaukoma ini adalah berkaitan dengan penghasilan cecair di dalam bebola mata yang dikenali sebagai aqeuous humor. Cecair ini biasanya mengalir keluar daripada mata melalui saluran-saluran yang tertentu yang terdapat pada mata, dan sekiranya saluran ini tersumbat atau mata sendiri menghasilkan lebih cecair, ini dapat mengakibatkan kandungan cecair di dalam mata itu meningkat, sekali gus menyebabkan tekanan dalam bebola mata itu juga turut meningkat. Punca saluran itu tersumbat masih belum dapat dikenalpasti, namun ianya dapat diturunkan kepada generasi yang seterusnya.

Antara punca glaukoma yang lain termasuklah kecederaan disebabkan objek tumpul atau
bahan kimia, jangkitan mata yang teruk, saluran darah dalam mata yang tersumbat dan sebahagian daripada penyakit keradangan. Glaukoma biasanya menyerang pesakit dewasa yang berusia melebihi 40 tahun, namun ianya tidak terhad kepada usia tersebut. Terdapat juga pesakit yang lebih muda, kanak-kanak malahan bayi juga boleh menghidap glaukoma.

Masyarakat Asia lebih terdedah kepada angle-closure glaucoma yang disebabkan oleh ruang saluran di antara iris dan kornea menjadi sempit. Ia menyebabkan tekanan dalam mata meningkat secara tiba-tiba. Ia juga turut dikatikan dengan rabun dekat dan katarak. Satu lagi jenis glaukoma yang lebih kerap terjadi adalah open-angle glaucoma yang mana sistem saliran kelihatan baik namun cecair tidak mengalir seperti yang sepatutnya.

Gejala bagi angle-closure glaucoma biasanya lebih cepat dan lebih jelas. Antara gejala yang sering berlaku adalah melihat lingkaran cahaya di sekeliling suatu sumber cahaya yang terang, hilang deria penglihatan, mata menjadi merah, mata yang nampak kabur (terutamanya bagi bayi), masalah perut meragam atau muntah-muntah dan mata menjadi sakit. Namun kerosakan juga boleh berlaku dengan pantas. Oleh itu sekiranya anda mengalami sebarang gejala seperti yang disenaraikan, segeralah mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor mata anda. Diagnosis akan
dibuat berdasarkan beberapa ujian yang akan dilakukan sebelum memberi rawatan yang sesuai.

Antara langkah bagi mengurangkan risiko kehilangan deria penglihatan disebabkan
glaukoma adalah dengan menjalani pemeriksaan mata secara berkala terutamanya mereka yang menghidap penyakit diabetes dan hipertensi, mempunyai sejarah keluarga yang turut menghidap glaukoma, melakukan senaman sederhana seperti berjalan kaki atau berjoging sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan melindungi mata menggunakan alat pelindung mata yang sesuai sewaktu mengendalikan alat-alat pertukangan atau bersukan. Mereka yang merokok juga turut disarankan
untuk berhenti daripada menghisap rokok.

Adalah amat penting bagi kita untuk menjaga kesihatan tubuh badan kita yang merupakan amanah daripada Allah SWT. Ini kerana tubuh badan yang sihat memungkinkan kita untuk melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna selari dengan peringatan berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA yang bermaksud, “Gunalah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; Masa mudamu sebelum masa tuamu, kesihatanmu sebelum sakitmu, waktu luangmu sebelum waktu sibukmu, masa kayamu sebelum masa kefakiranmu, masa hidupmu
sebelum kematianmu.”

Deria penglihatan juga merupakan deria yang penting bagi kita dan amat mudah untuk kita mengabaikannya namun kita akan pasti merasai seandainya kehilangannya kelak.
Wallahualam.

Oleh: Dr Jannatul Madihah binti Abu Bakar
Timbalan Pengerusi WARAK Writers Pool, Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak,
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) &

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM
Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak (WARAK),
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast