KUALA LUMPUR – Kelibat Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turun padang sebagai Ahli Parlimen Pandan di kawasannya didakwa ‘boleh dikira jari sahaja’ sejak PRU-14 lalu.
Pada peringkat awal kemenangan pada tahun 2018, isteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memang ada mengadakan majlis di kawasannya namun selepas itu ‘hilang’ pada mata para pengundinya.
“Namun, sejak 2019, beliau sudah tidak lagi kelihatan atau terlalu jarang berada di kawasannya. Segala program dan urusan di pusat khidmatnya dijalankan oleh para petugasnya sahaja,” kata Pengerusi Penggerak Komuniti Pandan, Zakaria Abd Rahim kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Beliau yang juga bekas ahli PKR Pandan itu mengakui pada masa awal kemenangan Pakatan Harapan, beliau antara yang menganjurkan program melibatkan Wan Azizah di kawasan Pandan.
Kini, beliau mendakwa kehadiran Wan Azizah, menurut majoriti penduduk Pandan hanya hadir untuk meraikan program-program yang berkenaan dengan parti sahaja.
“Beliau (Wan Azizah) tidak kelihatan untuk turun bertemu dengan rakyat menyelesaikan pelbagai isu-isu rakyat di Pandan,” kata Zakaria yang kini ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Atas sikap itu, menurutnya, kebanyakan pengundi merasakan sudah tiba masa untuk mereka mendapatkan khidmat pemimpin baharu yang lebih komited untuk mendengar dan turun menyelesaikan masalah rakyat.
“Untuk kali ini, mereka mahukan pemimpin berada di Pandan atau tinggal di Pandan. Mereka sudah muak dan kecewa dengan mana-mana pemimpin luar yang diletakkan oleh parti mereka bertanding dan mewakili mereka di Pandan.
“Mereka tidak mahu lagi orang luar. Mereka mahu orang tempatan yang lebih komited dan dekat dengan mereka. Mereka tidak kisah jika pimimpin mereka tidak menjawat jawatan menteri atau apa-apa jawatan tinggi dalam kerajaan.
“Bagi mereka, masa itu penting dan mahukan pemimpin yang mempunyai masa untuk mereka mewakili mereka, bukan pemimpin yang ada darjat, gelaran mahupun popular di mata masyarakat,” katanya lagi.
Soal Zakaria, apa guna popular tapi tidak mampu turun berjumpa dan hanya mengerahkan petugas yang tak mampu berbuat apa-apa sekiranya berjumpa dengan pengundi.
“Mereka (pengundi) berasakan amat terhina dengan sikap pemimpin sebegini. Sudah dua penggal mereka diwakili orang luar. Pada PRU-13, mereka di wakili oleh seorang yang berasal dari Terengganu, Rafizi Ramli.
“Dia (Rafizi) langsung tidak kelihatan tetapi gah di media dengan ‘pembongkaran’ sensasinya. Kemudian lepas PRU-14, mereka diwakili pula sekali lagi orang luar, Wan Azizah yang berasal dari Kedah.
“Mereka (pengundi) sememangnya mahu anak Selangor dan telah lama berada di sekitar Pandan untuk membolehkan wakil rakyat mereka benar-benar memahami kehendak mereka,” katanya.
Selain masalah anak tempatan, menurut Zakaria, para pengundi Pandan juga mahu wakil rakyat dilihat mampu mewakili semua peringkat masyarakat tanpa batasan kaum, agama dan bangsa.
“Mereka tidak mahu wakil mereka yang ultra rasis atau pun bersikap memilih untuk menyampaikan khidmat mereka. Mereka mahukan pemimpin yang faham budaya masyarakat di Pandan,” katanya.
Pada pandangan Zakaria, menjadi wakil rakyat bukan menjadi pemimpin semata-mata tetapi adalah pekerja kepada rakyat.
“Kerana undi rakyatlah wakil rakyat mendapat elaun dan peruntukan kerajaan untuk berkhidmat. Mereka adalah Yang Berkhidmat kepada rakyat. Gelaran Yang Berhormat itu hanyalah sesuai digunakan secara rasmi terutama di dalam Dewan Rakyat atau Parlimen tetapi apabila dengan pengundi, mereka adalah Yang Berkhidmat sebaliknya, Yang Berhormat adalah rakyat yang melantik mereka. Rakyatlah bos kepada wakil rakyat bila di dalam kawasan.
“Rakyat tak kisah jika seseorang wakil rakyat itu tidak dapat selesaikan masalah mereka atas beberapa faktor tetapi sekurang-kurangnya, muka wakil rakyat itu mereka dapat ketemu di kawasan di mana mereka tinggal.
“Lebih kerap wakil rakyat itu kelihatan adalah lebih bagus,” ujarnya.- MalaysiaGazette
Sudah MUAK ya? takpe nanti dlm PRU akan datang boleh pilih lagi calon PGayR, kali ini mereka akan menampilkan calon yang lebih FRESH!
Laa, ingatkan pilih dan menangkan calun dari parti PH terdiri dari orang luar, pengundi-pengundi Pandan sudah terbela berbaloi dengan undian mereka. Rupanya terkemut-kemut di anak tirikan. Kalau macam itu, PRU15 ni nanti, berilah undi kepada calun anak tempatan walau pun calun dari parti lawan…