Stadium Zabeel di UAE.

KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)  hari ini mengesahkan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah dipilih sebagai tuan rumah kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022 yang melibatkan pasukan Malaysia, Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Penganjuran perlawanan secara karnival menjadi pilihan utama kerana ia dilihat sebagai langkah yang sesuai bagi membendung penularan wabak pandemik Covid-19 dan masalah sekatan perjalanan.

Pemilihan UAE memenuhi semua syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh AFC termasuk stadium, tempat penginapan, kemudahan video bantuan pengadil (VAR) dan protokol kesihatan berkualiti tinggi yang menjamin keselamatan semua orang.

Stadium Zabeel dan Stadium Al Maktoum menjadi pilihan sebagai venue rasmi semua perlawanan itu.

Skuad Harimau Malaya akan turun berdepan UEA pada 3 Jun ini sebelum berdepan skuad kendalian Park Hang-seo iaitu Vietnam lapan hari kemudian.

Aksi penutup perlawanan kelayakan pula menyaksikan skuad Harimau Malaya akan menghadapi tentangan dari Thailand pada 15 Jun depan.

Selain itu, suhu cuaca panas melampau sehingga 43 darjah celsius bakal menjadi cabaran getir buat skuad Harimau Malaya apabila bertandang ke UAE.

Berdasarkan semakan kaji cuaca pada Jun tahun lalu, 14 Jun 2020 pernah merekodkan suhu sepanas itu dengan 43 darjah celsius adalah catatan paling tinggi dengan  bulan Jun konsisten merekodkan 40 darjah celsius.

Harimau Malaya ketika ini berada pada posisi terbaik untuk melepasi Kumpulan G untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China apabila kini menduduki tangga kedua dengan sembilan mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast