Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi amaran jangan ada pihak cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah.

Sebaliknya, semua pihak perlu berperanan mengekalkan keharmonian dan perpaduan di negara ini dengan menghormati asas yang telah dibina oleh Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan berusaha mengambil langkah lebih jitu ke arah pengharmonian perundangan mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menegaskan jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan ini untuk menyebarkan dakyah agama lain kepada orang Islam.

“Saya memahami keresahan umat Islam berhubung keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

“Ramai yang risau apakah nasib umat Islam selepas keputusan ini nanti dan dari sudut hukum, wujud perbezaan pandangan mengenai penggunaan kalimah Allah. Ada yang membenarkan, ada juga yang menolak,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain lagi iaitu solat, Kaabah dan Baitullah.

Pada prosiding itu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi itu oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Keputusan itu turut disambut baik oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan tiada sesiapa boleh melarang mana-mana individu untuk menyebut perkataan Allah sama ada seorang Muslim atau apa sahaja anutan agama, selain daripada Islam.

Ini, kata Ahli Parlimen Marang itu, termasuklah penganut agama yang melantik paling banyak tuhan, bahkan golongan yang tidak beragama dan ateis juga tidak boleh dilarang menyebutkan perkataan Allah jika ia mahu diucapkan atau ditulis.

Mengulas lanjut Ahmad Marzuk berkata, pandangannya selari dengan Abdul Hadi, iaitu orang Islam tidak boleh sampai tidak membenarkan penggunaannya oleh orang bukan Islam tetapi perlu ada batasannya.

Katanya, yang beliau risau wujud dalam kalangan bukan Islam yang “mempergunakan” kalimah Allah itu bagi tujuan menyebarkan agama lain kepada orang Islam.

“Di sinilah penting untuk kita melihat tujuan penggunaan sesuatu perkataan itu berpandukan kepada kaedah fiqh yang membawa maksud “semua perkara dilihat kepada tujuannya”.

“Dalam isu kalimah Allah ini khususnya, kita tidak boleh melihat sekadar apa lafaz dan ungkapannya sahaja, tetapi mesti juga diambil kira maksud tujuan dan maknanya.

“Jika tujuan kalimah Allah digunakan untuk mengelirukan atau menghina penganut Islam, maka perlu ada sempadan yang ditetapkan dalam penggunaannya,” katanya.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan telah memberikan punca kuasa kepada negeri-negeri termasuk Wilayah Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi tujuan mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam.

Menurutnya, kuasa itu diberikan di bawah Perkara 11(4) iaitu setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, tetapi tidak boleh mengembangkan atau mempengaruhi orang lain untuk mengamalkan agama yang mereka anuti.

Oleh itu, jelas beliau, penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan di negeri yang sudah pun menggubal Enakmen Kawalan Pengembangan Agama bukan Islam kepada orang Islam.

“Kita dalam usaha untuk menggubal enakmen atau akta ini di negeri-negeri yang belum ada termasuk Wilayah Persekutuan, sebagaimana yang saya pernah maklumkan di Parlimen pada 26 November tahun lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast